Najib jawab kenapa tak hadir pertabalan Agong


(FMT) – Najib Razak berkata beliau tidak menghadiri majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung semalam kerana perubahan pakaian yang perlu dipakai berikutan tempat duduknya ditukar pada saat akhir.

Menerusi catatan Facebook, katanya, beliau pada asalnya diberi tempat duduk di tempat ke-10, yang dikhaskan untuk bekas perdana menteri mengikut protokol majlis itu.

“Tetapi ditukar pada saat terakhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang,” kata Ahli Parlimen Pekan itu sambil menambah pertukaran itu memerlukannya berpakaian istiadat Orang Besar Pahang.

“Pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas PM tak sama. Setiap jawatan ada protokolnya,” katanya.

“Masa itu dah tak sempat nak ambil pakaian dari Pekan,” katanya.

Najib memegang gelaran “Orang Kaya Indera Shahbandar”, yang diwarisi daripada bapanya. Gelaran itu yang diberikan kira-kira 3 abad lalu, dianugerahkan kepadanya oleh istana Pahang.

Semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dari negeri kelahiran Najib di Pahang secara rasminya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam majlis yang diadakan di Istana Negara.

Pejabat Perdana Menteri berkata ia tidak terlibat dalam susunan tempat duduk untuk Najib, sambil menambah protokol itu berada di bawah pegawai istana.

Kejadian semalam bukanlah pertama kali berlaku, di mana bekas perdana menteri itu tidak hadir dalam majlis istana.

Pada 2016, Dr Mahathir Mohamad, yang kemudiannya mengetuai kempen menentang Najib, berkata jemputan kepada beliau dan isterinya untuk menghadiri upacara pertabalan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, dibatalkan.

Mahathir kemudian menyalahkan Najib, walaupun Pejabat Perdana Menteri menafikannya, mengatakan ia adalah keputusan istana.

 



Comments
Loading...