‘Barua’ dalam Umno perlu ‘dipencenkan’, kata Ku Li


(FMT) – Tengku Razaleigh Hamzah hari ini meminta Umno mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin dan ahli parti itu yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu berkata, perbuatan membiarkan kumpulan yang menjadi duri dalam daging bergerak bebas hanya akan merencatkan usaha untuk memulih dan memperkukuhkan parti yang sedang dibuat ketika ini.

“Orang yang hendak lari, tidak boleh lagi berkhidmat kepada parti, ‘pencenkanlah dia’. Kita tidak mahu mereka jadi duri dalam daging.

“Kita tidak mahu ada ‘barua’ dalam parti. PAS sekarang bersama dengan kita, jadi tidak manis ada barua dalam parti,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk, Perak, hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada tindakan bekas pemimpin tertinggi Umno yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Selain pemimpin Umno, pemimpin PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikatakan berjumpa Mahathir dipercayai bagi menyatakan sokongan supaya beliau menghabiskan penggal pentadbirannya sebagai perdana menteri.

Mengulas lanjut perkara itu, Tengku Razaleigh atau lebih lebih mesra dengan panggilan Ku Li mengingatkan individu yang terlibat supaya tidak membiarkan diri mereka diperalatkan oleh pihak lain.

“Saya hendak menasihatkan supaya tidak memperalatkan parti dengan menjadi tali barut orang lain. Atas nama Umno bercakap dengan orang lain. Janganlah jadi terlampau bodoh kerana kita sudah hilang kuasa.

“Janganlah mereka keterlaluan sangat seolah-oleh kita tidak ada pemimpin. Kenapa hendak jual diri sana sini? Kita ada parti yang kuat, kenapa hendak pergi ke parti yang kecil? Saya rasa parti kecil itu tidak akan kekal lama,” katanya

Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika diminta mengulas perkara itu berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Apandi Ali untuk mengambil tindakan lanjut.

“Kita akan serahkan perkara ini kepada pengerusi Lembaga Disiplin untuk membuat penyiasatan, bukan hanya berdasarkan kepada laporan atau kenyataan.

“Penyiasatan bukan sahaja terhadap individu dalam kepimpinan Umno, tetapi di semua peringkat,” katanya ketika ditemui media pada majlis sama.

Semalam setiausaha agung Umno Annuar Musa berkata, pertemuan beberapa pemimpin pembangkang dari Umno, PAS dan GPS dengan perdana menteri baru-baru ini bersifat peribadi, bukannya urusan rasmi mewakili parti.

Katanya, pimpinan tertinggi Umno sudah memutuskan bahawa semua perkara rasmi diserahkan kepada tindakan presiden parti itu.

 



Comments
Loading...