Anwar tokoh retorik, tidak mampu selesai masalah ekonomi negara – Khairuddin
(Astro Awani) – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tokoh politik yang retorik dan tidak mampu untuk menanggung serta menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi mikro dan makro negara.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, sejarah juga telah membuktikan bagaimana bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan itu sendiri merosakkan ekonomi negara pada tahun 1997.
“Pada waktu itu perdana menteri kata kita tidak boleh menerima dasar Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) tetapi Anwar telah menerima jawatan selaku pengerusinya.
“Akhirnya, kerosakan ekonomi negara yang disebabkan oleh percaturan silap Anwar terpaksa diperbetulkan semula oleh Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tun Daim Zainuddin pada waktu itu.
“Pada saat itu, negara sudah berada di ambang bankrap kerana dasar-dasar Anwar yang salah dari pelbagai segi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Khairuddin mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim di dalam sebuah portal yang mencadangkan Dr Mahathir supaya meletak jawatan selepas apa yang didakwanya perdana menteri seperti hilang punca dan hilang daya dalam menyelesaikan beberapa isu kritikal negara.
Jelas Hassan, sudah sampai masanya proses peralihan jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir kepada Anwar dapat dilaksanakan dengan segera sekarang ini sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak diselamatkan.
Dalam pada itu, Khairuddin mempertikaikan kredibiliti Hassan yang disifatkan hanya ahli politik kerdil dan hanya mampu melihat dari perspektif yang sempit sahaja.
“Apa Hassan ingat Anwar mampu untuk menyelesaikan permasalahan ekonomi dan hutang negara masa kini yang mencecah lebih dari RM1.2 trilion?
“Di mana Hassan pada saat negara menghadapi masalah gawat ekonomi dunia pada tahun 1997? Hassan sudah lupa dengan peristiwa Anwar tunduk kepada pemimpin-pemimpin barat serta IMF?
“Hassan perlu tanya Anwar sama ada dia mampu untuk mentadbir tanah air ke arah menyelesaikan semua permasalahan negara di saat ini?” soalnya.
Khairuddin menambah, Anwar hari ini dilihat tidak berani untuk memikul tanggungjawab selaku ketua negara bagi menangani pelbagai polemik dan musibah yang ditinggalkan oleh rejim kleptokrasi.
“Kalangan inilah yang kemungkinannya boleh menggagalkan buat kali kedua untuk Anwar menjadi perdana menteri kerana mereka ini terlalu tidak sabar.
“Sekiranya boleh, saya ingin memohon Hassan menunjukkan sama ada apa-apa perjanjian bertulis yang memerlukan Dr Mahathir yang harus menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas dua tahun PH memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
“Sepatutnya kalangan ini harus bersyukur dan menghargai pengorbanan serta kerja keras perdana menteri yang berumur 94 tahun dan masih bertungkus lumus mahu memulihkan semula negara kita yang tercinta ini tanpa sebarang agenda kepentingan diri,” ujarnya.
Tegasnya lagi, Dr Mahathir pada usia ini sudah tidak memerlukan apa-apa lagi kecuali meletakkan semula asas negara di tahap yang paling mampan demi kesejahteraan masa depan keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
“Rejim kleptokrasi yang dipimpin oleh kerajaan terdahulu telah merosakkan negara pada skala yang amat teruk.
“Apakah Hassan ingat Dr Mahathir atau mana-mana pemimpin lain boleh memperbaiki masalah ekonomi negara dengan sekelip mata?
“Namun, faktor yang penting untuk menjadi pemimpin juga mestilah berteraskan kepada moral baik dan pekerti mulia seseorang itu,” jelasnya.
Khairuddin dalam pada itu mahu keseluruhan rakyat berdoa agar tokoh pemimpin yang bakal menggantikan Dr Mahathir kelak mestilah di kalangan yang mempunyai pekerti mulia dan nilai-nilai moral yang baik.
“Seseorang yang terbukti ‘kaki liwat’ dan sekiranya masih tidak berubah mesti ditolak secara tegas daripada menjadi pemimpin kerana haram hukumnya melantik seseorang khalifah yang Nabi sendiri tidak mengaku menjadi umatnya.
“Apabila sampai saat ketika yang sesuai; bab ini akan saya huraikan secara mendalam untuk pengetahuan Hassan.
“Saya ingin ingatkan Hassan agar berpegang pada prinsip ‘biar perlahan asalkan selamat’. Jangan terlalu gopoh sehingga boleh membawa ‘bos’ rebah buat selama-lamanya,” katanya.