Gesaan Hassan Karim tidak selari dengan hasrat rakyat


Muttakhir ini kita dihujani dengan pelbagai isu yang menguji keutuhan kesatuan kita sebagai rakyat Malaysia. Sebagai rakyat yang bertanggung jawab kita harus menjadi benteng yang mempertahankan dan menyuburkan keharmonian ini. Pemimpin rakyat harus menjadi contoh dan tauladan yang baik kepada rakyat. Kita harus lebih cermat dalam memahami isu dan berhati hati dalam memberikan respon.

Saya meneliti kenyataan yang diberikan oleh Yang Berhormat Pasir Gudang, Sdr Hasan Karim dan terpanggil untuk mengulas pandangan beliau tersebut.

Mengulas kenyataan beliau menggesa YAB Perdana Menteri Tun Mahathir berundur segera. Saya melihat kenyataan ini adalah tidak selari dengan hasrat majoriti Rakyat Malaysia yang telah memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Harapan pada PRU lalu.

Umum tahu buat pertama kalinya Rakyat Malaysia memilih untuk berubah daripada pemerintahan lama kerajaan Barisan Nasional kepada memilih kerajaan baru iaitu Gabungan Parti KEADILAN, BERSATU, AMANAH dan DAP yang di namakan Pakatan Harapan. Rakyat memilih Pakatan Harapan dengan kefahaman yang jelas tentang persefahaman Dan persetujuan bersama di antara Gabungan 4 Parti ini.

Kita telah bersetuju untuk bersama mempertahankan peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957 dan 1963 terutamanya berkaitan Agama Persekutuan, Bahasa Rasmi, kedudukan Raja Dan Malayu serta agenda reformasi di dalam pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan.

Lebih dari itu, proses pengampunan dan pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim diutamakan serta menetapkan Dato Seri Anwar sebagai Perdana Menteri ke 8 turut telah dimeterai bersama pada suatu masa yang sesuai di mana YAB Tun Mahathir di beri masa yang cukup untuk memastikan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan berada dalam keadaan yang cukup stabil sebelum peralihan kuasa mengambil tempat.

Gesaan berundur dengan mendakwa kepimpinan longlai serta mudah di serang isu sensitif muktahir ini adalah memperlihatkan situasi politik tidak stabil di kalangan Gabungan Parti Pakatan Harapan. Ini sekaligus mencemar hubungan setiakawan sejak awal Gabungan ini di bina hinggalah membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan. Kita juga harus sedar Winston Churchill meletakkan jawatan atas faktor kesihatan fizikal dan mental beliau yang semakin buruk.

Bukan usaha yang mudah untuk mengikat kekuatan dua tokoh politik hebat negara Tun Dr Mahathir Muhammad dan Dato Seri Anwar Ibrahim hingga terukir sejarah kemenangan Pakatan Harapan dan membenam kerajaan korup Barisan Nasional yang telah memerintah negara sejak merdeka.

Janganlah bertindak gelojoh hingga memberi gambaran salah, berlaku persaingan buruk di kalangan Gabungan Parti Pakatan Harapan. Majoriti Rakyat yang memberi mandat dan kepercayaan tinggi kepada Kerajaan Pakatan Harapan untuk memulihkan negara dan jaminan masa depan rakyat Malaysia sebagai keutamaan.

Suka untuk saya mengingatkan isi kandungan perjanjian Pakatan Harapan iaitu perkara ke-7

“..Atas semangat setiakawan dan kerjasama, parti-parti dalam rangka perjanjian ini hendaklah memelihara hubungan baik antara satu sama lain dan menyelesaikan pertikaian menerusi perundingan bersama.”

Ini adalah kunci setiakawan di Kalangan Parti Gabungan Pakatan Harapan. Janganlah kita lupa tentang asas kebersamaan dan janganlah jadi perosak kepada hubungan setiakawan ini. Kita harus memberi sokongan penuh kepada pimpinan yang sedang meneraju negara dengan penuh kebijaksanaan.

Kita harus muafakat menyokong kepimpinan negara mengharungi pelbagai cabaran kini.

Inshallah kita doa agar YAB Tun Mahathir Mohammad sentiasa sihat untuk mengemudi negara ke arah yang lebih baik dan seterusnya kemudi diserahkan kepada PM ke 8 seperti yang dijanjikan

Inshallah.

Sekian.

Mohd Rashid Hasnon
Ahli Parlimen Batu Pahat
Merangkap Timb Speaker Dewan Rakyat

 



Comments
Loading...