Hanya munafik setuju Zakir Naik dihalau: Nik Abduh
(Sinar Harian) – Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan hanya orang munafik dan orang Islam berdosa besar sahaja gembira serta bersetuju pendakwah prolifik, Dr Zakir Naik dihalau keluar dari negara ini.
Dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini, Nik Abduh menulis, tiada orang Islam di negara ini yang bersetuju Zakir dihalau keluar.
“Tiada bukan Muslim yang berusaha menghalau Zakir keluar dari negara ini kecuali dia adalah musuh umat Islam. Siapa pun yang menyokong tindakan musuh Islam terhadap umatnya, dia adalah tali barut,” tulis beliau.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, setiap Muslim adalah bersaudara dan agama mengharamkan tindakan menzalimi serta membiarkan saudaranya dizalimi oleh sesiapa pun.
“Tiada kejuaraan sebenar kecuali kejuaraan perjuangan menegakkan kalimah ALLAH di dalam diri dan tanah air,” tulis beliau lagi.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju dengan rakan Kabinetnya supaya penceramah dari India, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India susulan kenyataan kontroversinya terhadap masyarakat India dan Cina.
Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) ialah menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pertama yang tampil menyokong gesaan tiga menteri supaya kerajaan menghantar Zakir pulang ke India.
Katanya, serangan Zakir terhadap orang Cina dan India di negara ini adalah serangan terhadap semua rakyat Malaysia.
Selain itu, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim menyokong gesaan agar pendakwah tersohor, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India.
Menurut Rais yang juga bekas menteri, tindak-tanduk Dr Zakir yang mencetuskan pelbagai kontroversi turut menjejaskan keharmonian negara.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menyatakan pendirian tegas supaya Zakir diusir dari negara susulan kenyataan dalam program pidatonya di Stadium Sultan Muhammad VI di Kota Bharu pada 9 Ogos lalu.
Zakir sebelum ini menafikan beliau cuba mewujudkan suasana tidak harmoni di Malaysia.
Beliau juga menjelaskan pengkritiknya salah tafsir berhubung ucapannya bagi tujuan politik dan menganiayanya.
Zakir berkata, ketika program pidatonya itu beliau memuji langkah Malaysia mengamalkan pendekatan Islam memberi layanan adil kepada masyarakat India dan menegakkan hak mereka.
Malah katanya, situasi itu berbeza di India di mana kerajaan India gagal melakukan perkara sama bagi melakukan sesuatu terhadap golongan minoriti.