Zakir Naik dihalang masuk ke Sarawak


(Utusan) – Kerajaan negeri Sarawak hari ini menghalang pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik daripada memasuki negeri itu.

Berdasarkan laporan Sin Chew Online, keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri itu disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. James Jemut Masing dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr. Sim Kui Hian.

Menurut James, halangan itu dibuat kerana Zakir mengeluarkan kenyataan yang didakwa mempunyai unsur hasutan sekali gus boleh menimbulkan situasi bahaya terhadap keharmonian etnik dan agama di negeri itu.

Semalam, sebuah portal melaporkan kononnya Zakir memberikan kenyataan pedas terhadap kaum Cina di Malaysia sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

Kenyataan itu dibuat pada satu syarahan di Kelantan, Khamis lalu, dan beliau turut mengeluarkan kenyataan berkaitan penganut Hindu yang menurutnya lebih percaya dengan Perdana Menteri India berbanding Malaysia.

Zakir sebaliknya mendakwa, kenyataan beliau berhubung isu kesetiaan masyarakat India di negara ini telah disalah tafsir.

Menurutnya, terdapat pihak-pihak terdesak yang menyaksikan ceramah beliau semata-mata mahu mencari kesalahan.

 



Comments
Loading...