PAN membisu ketika Dr Zakir Naik diperlekeh
(Harakah) – Parti Amanah Negara (PAN) dianggap tidak membawa prinsip Islam sebenar sebaliknya memperjuangkan kelangsungan hidup DAP.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, komitmen parti itu untuk mempertahankan Islam merupakan satu pembohongan.
Sedangkan katanya mereka merupakan pimpinan yang hebat suatu masa dahulu masa ketika bersama jemaah Islam.
“Tetapi apabila tidak bersama, mereka senyap sepi tiada apa-apa pun, bahkan mereka cuba mencari hujah untuk mempertahankan tindakan menteri yang mencabar kewibawaan Islam,” katanya di sini.
Beliau ditemui selepas menyertai demonstrasi aman solidariti buat Dr Zakir Naik di Medan Ilmu Jalan Dato’ Pati hari ini.
Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, PAN yang mendakwa membawa suara Islam dalam Pakatan Harapan sebaliknya terus berdiam diri dalam isu Dr Zakir Naik yang diminta kembali ke India oleh pemimpin DAP.