Peristiwa Dong Zong tahun 1961


(Malaysia Gazette) – ANDA jangan ingat isu bantahan Dong Zong terhadap tulisan Jawi baru-baru ini adalah yang paling besar. Isu ini kecil sahaja berbanding apa yang pernah berlaku pada tahun 1961.

Tetapi syukurlah kerana ketika itu Menteri Pelajaran adalah Abdul Rahman Talib dan Pengarah Pelajaran pula Dr Aminuddin Baki maka sistem pendidikan negara dapat dipertahankan sebaiknya.

Kalau ketika itu Menteri Pelajaran jenis ‘lembik’, sibuk kejar populariti dan asyik main politik, memang sistem pendidikan negara dah lama rosak.

Jangan harap bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar lagi seperti sekarang. Mungkin negara kita dah lama amalkan sistem pendidikan pelbagai bahasa pengantar.

Sebenarnya tahun 1961 adalah antara tahun yang bersejarah dalam sistem pendidikan negara ini.

Inilah ketikanya di mana pengasas Dong Zong, Lim Lian Geok telah dilucutkan kewarganegaraan Malaysia oleh kerajaan kerana tindakan beliau membantah keputusan kerajaan berkaitan Laporan Pelajaran Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961.

Ini berikutan bantahan keras beliau khususnya terhadap Perkara 21 (2) yang memberi kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk menukarkan mana mana Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) menjadi sekolah kebangsaan sepenuhnya.

Beliau juga ‘mengamuk’ bila Abdul Rahman Talib telah berjaya memujuk 53 buah Lembaga Pengelola sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) untuk menjadi sekolah menengah Jenis kebangsaan Cina (SMJKC).

Hanya 16 buah sekolah persendirian Cina sahaja yang bertegas menolak tawaran beliau.

Sekolah persendirian Cina yang pertama bersetuju menjadi sekolah Menengah Jenis Kebangsaan ialah Penang Chung Ling High School.

Pengetua Chung Ling High School, Mr. Wang Yoon Nien dan Pengerusi Lembaga Pengelola, Mr. Ong Keng Seng telah digelar sebagai pengkhianat besar pendidikan Cina oleh para pemimpin dan penyokong Dong Zong di seluruh negara.

Jadi jangan kita lupa, ramai juga tokoh pendidikan Cina yang turut menjadi ‘mangsa’ sifat perkauman Dong Zong sejak dulu.

Selain mereka berdua, dua tokoh masyarakat Cina yang menjadi ahli jawatankuasa Laporan Rahman Talib iaitu Mr. Leong Yew Koh dan Mr. Ong Yoke Lin juga digelar pengkhianat oleh penyokong Dong Zong.

Orang Melayu kena tahu sejarah ini. Ramai orang Cina yang mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi.

Mereka sanggup menerima berbagai kajian dari kumpulan Dong Zong semata-mata ingin bersama pemimpin Melayu membina sebuah sistem pendidikan kebangsaan di negara ini. Pengorbanan mereka ini jarang didendangkan.

Kesabaran kerajaan ada hadnya. Ada ketikanya ketegasan perlukan tindakan. Akibat bantahan berterusan Lim Lian Geok yang ketika itu memimpin Dong Zong, kewarganegaraan beliau telah dilucutkan pada 19 Ogos 1961.

Selepas beliau, tiada seorang pun pimpinan kanan Dong Zong berani menawarkan diri sebagai pemimpin Dong Zong yang baru.

Mungkin mereka mula takut akan menerima nasib yang sama. Mereka nampaknya sudah dapat isyarat jelas dari kerajaan, “kalau berani, cubalah…’

Begitulah ketegasan kerajaan ketika itu khususnya Menteri Pelajaran dalam memastikan sistem pendidikan negara ini tidak diganggu gugat oleh mana mana pihak yang mempunyai kepentingan kaum masing masing.

Jadi jangan anda ingat tak ada orang yang pernah dilucutkan kewarganegaraan kerana isu membantah sistem pendidikan negara.

Selain Lim Lian Geok, penasihat Dong Zong ketika itu bernama Yan Yuan Zhang juga turut menerima tindakan.

Disebabkan beliau menetap di Singapura, beliau telah diharamkan masuk ke Tanah Melayu atas arahan kerajaan.

Sistem pendidikan adalah ‘jiwa negara’ ini. Kerajaan bertanggungjawab memastikan ‘jiwa negara’ ini dipelihara. Menteri Pelajaran adalah ‘guardian’ sistem pendidikan negara.

Malaysia bertuah kerana pernah mempunyai pemimpin yang tegas dalam mempertahankan sistem pendidikan negara pada tahun-tahun yang mencabar dulu.

Semoga kerajaan hari ini juga mempunyai ketegasan yang sama.

PENULIS ialah pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia.

************************************************************
p/s: semua fakta di atas telah dipetik dari bahan bacaan ilmiah dan kajian Phd. Boleh rujuk:

Ang Ming Chee, (2014) Institutions and Social Mobilization: The Chinese Education Movement in Malaysia 1951-2011 (mukasurat 54)

Kua Kia Soong (2010), Lim Lian Geok: Soul of The Malaysian Chinese (mukasurat 45)

 



Comments
Loading...