Pemuda PPBM akan serah petisyen haramkan Dong Zong pada Agong


(FMT) – Pemuda PPBM akan meneruskan usaha mendesak Putrajaya mengharamkan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong yang dilabelkan rasis oleh Dr Mahathir Mohamad dengan cadangan menghantar petisyen itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Exco Pemuda PPBM, Muzzammil Ismail berkata pihaknya akan menyerahkan petisyen yang ditandatangani rakyat kepada Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin sebagai bukti bantahan untuk terus memberi tekanan kepada Dong Zong.

“Ia akan dilakukan selepas petisyen mendapat cukup 100,000 tandatangan. Kami juga dalam pertimbangan menghantar petisyen ini kepada Agong,” katanya kepada FMT.

Petisyen yang dilancarkan Pemuda PPBM sejak 12 Ogos lalu menerusi laman web change.org mendapat lebih 92,000 sokongan dan sasaran terbaru ialah 150,000 tandatangan, susulan bantahan Dong Zong terhadap pengenalan seni khat bagi subjek bahasa Melayu Tahun 4 di semua sekolah, termasuk sekolah vernakular mulai 2020.

Desakan mengharamkan Dong Zong turut disokong Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang mengajak rakyat menandatangani petisyen menyokong pengharamannya.

Pada 15 Ogos lalu, polis memaklumkan Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim akan dipanggil untuk membantu siasatan berhubung dakwaan pengenalan tulisan jawi di semua sekolah ialah satu bentuk Islamisasi.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan tulisan jawi dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 di semua sekolah, termasuk sekolah vernakular akan dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberi kuasa memutuskan kaedah pembelajarannya.

 



Comments
Loading...