Pakatan Harapan: bulan madu sudah berakhir


Salleh SD

Populariti Pakatan Harapan semakin hari semakin menurun, tunggu masa untuk menjunam ke tanah. Sebelum PRU14, populariti Pakatan Harapan ini teramatlah tinggi. Mereka dari Pakatan Harapan ini berbagai-bagai cara meraih populariti. Dari janji-janji manifesto sehinggalah lakonan video Tun Dr Mahathir menangis.

Tetapi, populariti air mata Tun Dr Mahathir dan manifesto-manifesto Pakatan Harapan nampaknya tidak dapat bertahan lama. Setelah lebih dari satu tahun Pakatan Harapan memerintah populariti mereka sudah mula jatuh dengan teruk sekali. Dari rakyat yang mengangkat dan menyanjung mereka, sekarang sudah bertukar menjadi marah dan benci. Dan yang paling kritikal sekali, yang marah bukan sahaja orang Melayu malah orang bukan Melayu turut benci terhadap mereka.

Kegagalan mereka untuk mengukuhkan ekonomi negara dan menunaikan janji manifesto antara punca-punca awal yang membuatkan rakyat Malaysia marah. Tidak cukup dengan itu, Pakatan Harapan menambahkan lagi kemarahan terutama orang Melayu dengan isu-isu seperti ICERD, Dong Zong dan Lynas. Tidak cukup dengan kemarahan orang Melayu, Pakatan Harapan mengakhiri riwayat populariti mereka dengan isu-isu seperti tulisan Jawi, Zakir Naik dan Azmin Ali yang membuatkan orang bukan Melayu marah.

Apa pula jadi dengan UMNO dan PAS? Nampaknya kerjasama antara UMNO dan PAS berjalan dengan lancar. Mereka boleh dikatakan serasi dan mencapai kata sepakat. Jika kerjasama ini berjalan dengan lancar dan tanpa halangan, orang Melayu akan bersatu berlandaskan penyatuan ummah. Inilah apa yang menakutkan Mahathir dan Pakatan Harapan. Dan ditambah pula dengan ceramah Zakir Naik baru-baru ini menyeru kesemua orang Islam untuk bersatu. Maka, Mahathir pun bertindak dengan mengatakan yang Zakir Naik bermain politik dan mendiamkan Zakir Naik dengan tidak memberikan beliau kebenaran untuk pergi berceramah.

Sebenarnya, jika kita melihat video ceramah Zakir Naik, di dalam ceramahnya dia tidak berkata apa-apa pun seperti mana yang dituduh oleh Pakatan Harapan. Ramai yang tidak melihat video ceramahnya baru-baru ini. Apa yang diperkatakan oleh Zakir Naik ketika di ceramahnya adalah benda lain. Cuma, konteks yang diperkatakan oleh Zakir Naik adalah bagus untuk penyatuan ummah dan tidak bagus untuk Pakatan, jadi Zakir Naik dikenakan tindakan.

Mahathir dan Pakatan Harapan pula akan cuba apa jua cara untuk memastikan penyatuan ummah tidak berjaya. Termasuklah sabotaj, seperti apa yang di tulis pada blog theunspinners ‘usaha yang dilakukan oleh Dr. Mahathir untuk ‘hijacked’ Penyatuan Ummah yang kini semakin mendapat sambutan yang positif dari kalangan rakyat terutamanya dari masyarakat Melayu Islam di Malaysia’

https://theunspinners.blogspot.com/2019/08/rahman-dahlan-din-botox-cuba-hijacked.html

Kesimpulannya, Mahathir dan Pakatan Harapan tahu dan tidak dapat menafikan betapa kuatnya penyatuan ummah. Terutama sekali pada ketika ini populariti Pakatan Harapan makin jatuh merundum. Sekiranya penyatuan ummah ni berjaya, riwayat Mahathir dan Pakatan Harapan akan terkubur.

 



Comments
Loading...