Dr Zakir atau Dr Ramasamy sebenarnya pengganas?
(HarakahDaily) – Gerakan halau Dr Zakir Naik ke India begitu agresif dan vokal dilancarkan khasnya oleh pimpinan tertentu dalam DAP yang berketurunan India.
Dengan memiliki kuasa politik yang dominan dalam kerajaan mereka kuat mendesak kononnya kehadiran Dr Zakir mengancam kestabilan dalam negara dan lebih serius lagi mereka bersetuju dengan dakyah kerajaan BJP India kononnya Dr Zakir terlibat dengan kumpulan pengganas dan penggubahan wang haram.
Mereka yang lantang ini termasuklah Kulasegaran, Gobind dan paling ke hadapan adalah Timbalan KM P.Pinang Dr P. Ramasamy. Masing-masing mahu menjadi juara dalam isu ini dan cukup menebal kebencian mereka terhadap pendakwah yang dihormati dan disayangi umat Islam Malaysia itu.
Terkini dalam temuramahnya di stesyen TV India, Republic (sebagaimana diperincikan sahabat saya Dr Kamarul Yusoff) Ramasamy secara terang-terangan menyatakan permusuhannya pada Dr Zakir dengan menegaskan Dr Zakir kononnya tidak layak hidup di Malaysia malah tidak layak hidup di mana-mana dunia bertamaddun.
TV Republic menyanjung ketegasan Ramasamy dan mengangkatnya sebagai juara dalam usaha menangkap dan mendakwa Dr Zakir di India. Apa pun kini Alhamdulillah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah mengisytiharkan yang Dr Zakir boleh terus kekal berada di Malaysia.
Memang Ramasamy dan suku-sakatnya marah dengan keputusan ini, tetapi itulah keputusan PM yang mengetuai kerajaan PH yang dianggotai parti Ramasamy. Takkan tak setuju lagi dengan pemimpin sendiri? Atau Ramasamy lebih berkuasa dari PM?
Tetapi jangan kita lupa Ramasamy pun pernah didakwa menyokong pengganas dan sehingga hari ini tiada tindakan diambil terhadap beliau.
Ramasamy dituduh bersimpati dengan perjuangan gerakan pengganas LTTE atau Liberation Tigers of Tamil Eelam yang diklasifikasi sebagai gerakan pengganas oleh lebih 30 negara termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. LTTE adalah gerakan pemisah yang berjuang mengangkat senjata menentang kerajaan Sri Lanka bagi membebaskan Wilayah Utara Eelam yang majoriti penduduknya dari ethnik Tamil.
LTTE lumpuh apabila pemimpin mereka V.Prabhakaran mati ditembak tentera Sri Lanka dan wilayah mereka dikuasai kembali kerajaan. Semasa aktif LTTE dikaitkan dalam pembunuhan PM India Rajiv Gandhi 1991 dan Presiden Sri Lanka Premadasa 1993.
LTTE walau sudah berkubur namun semangat perjuangannya terus hidup dan Ramasamy salah seorang pemimpin yang terus bersimpati dengan gerakan pengganas ini. Banyak penulisan yang mengaitkan Ramasamy dengan LTTE selain beliau terlibat dalam sekretariat proses perdamaian antara LTTE dan Kerajaan Sri Lanka. Beliau wakil proses damai tapi dalam waktu yang sama seorang yang percaya dan simpati pada LTTE .
Dalam satu penulisan dalam laman Ministry of Foreign Affairs – Sri Lanka dinyatakan:
“(terjemahan) Mengikut sumber keselamatan Sri Lanka, sejak berakhirnya peperangan, Ramasamy berkerja rapat dengan Selvathurai Kirubananthan yang sebelum ini merupakan orang penting dalam Sayap Perisikan LTTE yang diketuai Pottu Amman.”
Dan malah dalam laman web malaysiaindru.my terdapat satu artikel bertajuk “Stop accusing YAB Prof Ramasamy & LTTE” ada tercatat:
“(terjemahan) Pertuduhan mengatakan Timbalan KM Dr Ramasamy adalah penyokong LTTE sebenarnya adalah peluang bagi kita keturunan Tamilar Malaysian untuk mengisytiharkan sokongan pada LTTE – pejuang kebebasan sebenar.”
Dr Zakir atau Dr Ramasamy yang sebenarnya pengganas?
Semoga pihak polis membuka kembali siasatan terhadap Ramasamy ini. Dr Zakir dah disoal-siasat. Panggil dan heret pula Ramasamy. Isu Dr Zakir bukan isu rasis atau perbalahan agama tetapi orang seperti Ramasamylah yang kuat menghasut sehingga menyemarakkan api kebencian.