Hadi dakwa isu Naik dipolitikkan, PAS akan tangani


(FMT) – PAS sudah menasihati pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik supaya berhati-hati dalam isu yang menyentuh politik, kata Presiden Abdul Hadi Awang.

Pada sidang media selepas mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi Gagasan Sejahtera hari ini, Hadi berkata Naik perlu fokus pada isu dakwah.

“Kita pisahkan antara kerja dan politik,” katanya pada sidang media yang disertai Presiden Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Mohd Hazizi Ab Rahman.

Naik berdepan masalah dengan pihak berkuasa selepas dia mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu tempatan, serta dilihat mempersoalkan kedudukan masyarakat Cina, ketika bercakap dalam kuliah anjuran kerajaan Kelantan baru-baru ini.

Sejak minggu lepas, Naik berulang alik di Bukit Aman untuk disiasat polis bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu berkait tuduhan sengaja mengaibkan dengan niat hendak mengganggu keamanan, berdasarkan lebih 100 laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Naik, yang mempunyai taraf pemastautin tetap Malaysia, berkata dia hanya menjawab pihak yang mahu dia diusir ke India. Awal minggu ini, Naik membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bukan Islam, sambil mendakwa ucapannya sering disalah petik.

Hadi berkata PAS menasihat Naik selepas isu itu, dan partinya rasa “bertanggungjawab” untuk menjawab isu Naik kerana isu itu telah “dipolitikkan oleh DAP”.

“Biar kita tangani kerana parti politik yang memainkan isu ini, bukan beliau. Beliau hanya beri jawapan bagi pihak diri dia,” katanya.

Semalam, Presiden MIC, SA Vignesawaran berkata PAS sepatutnya menasihati Naik agar menghormati bangsa lain di Malaysia.



Comments
Loading...