Jangan fitnah kempen beli produk Muslim


(Utusan) – Sekretariat Suara Pengguna Prihatin Malaysia (SPPM) menyelar tindakan sesetangah pihak yang memfitnah Kempen Utamakan Produk Muslim sebagai satu kempen untuk memboikot produk bukan muslim.

Presidennya Normala Sudirman turut melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan beberapa Ahli Parlimen dan anggota Kabinet Pakatan Harapan (PH) yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung isu berkenaan.

“Kenyataan Ahli Parlimen Gelugor yang mendakwa kempen tersebut sebagai bercangah dengan Perlembagaan Persekutuan jelas tidak menghormati hak pengguna muslim untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik melalui kuasa beli yang mereka miliki.

“Kami juga kesal dengan pandangan naif Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyindir secara sinis kempen tersebut mengatakan boikot sekali pembelian telefon bimbit di kedai bukan Islam,” katanya ketika dihubungi.

Jesteru beliau mendesak agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mujahid Yusuf memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen dan anggota kabinet PH berhubung kempen tersebut bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan mereka.

Beliau juga mengesa semua pihak berhenti memainkan isu tersebut kerana kempen tersebut bukan bertujuan untuk memboikot produk bukan muslim seperti didakwa Menteri Industri Utama, Taressa Kok, sebaliknya hanya bertujuan memperkasa ekonomi orang Islam.

Katanya, tindakan sesetengah pihak yang sengaja menggunakan logo halal palsu sebelum ini telah menjerumuskan pengguna Islam menggunakan barangan yang diragui daripada aspek halal dan secara tidak langsung menjadi antara faktor kempen tersebut digerakkan.

“Masyarakat bukan Islam harus faham bahawa kempen ini bukan bertujuan memboikot barangan bukan Islam dan tidak harus dijadikan isu yang boleh memecah belahkan keharmonian kaum di negara ini.

“Kami harap selepas ini tiada pihak yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh berhubung isu ini untuk kepentingan diri mereka kerana perbuatan tersebut boleh menimbulkan situasi tidak tenteram dalam negara,” katanya.

 



Comments
Loading...