Cina lebih kuat dari Melayu, kata Anwar


(Astro Awani) – Ekonomi kaum Cina terlalu kuat untuk diboikot oleh mana-mana pihak atau kaum lain, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, orang Melayu dilihat mudah panik dan tiada keyakinan dalam isu melibatkan ekonomi.

“Hal-hal yang tidak diberi ruang, bagi orang Melayu panik, tiada keyakinan. Habis Cina hendak tenggelam, habis kita ini.

“Bukan dengan Cina sahaja, dengan India yang sedikit pun hendak telan kita, yang Cina ditakutkan juga, orang Melayu boikot sikit. Kekuatan ekonomi Cina itu terlalu kuat untuk diboikot sikit-sikit,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa menjadi tetamu pada program Dialog Digital Native Agenda 23 (DNA23) di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada Khamis.

Selain Anwar, tetamu lain adalah Ketua Pegawai Eksekutif Naluri Hidup, Azran Osman Rani, Ketua Pegawai Eksekutif Naluri Hidup, Dzuleira Abu Bakar dan Naib PresidenTencents Holdings, Lau Seng Yee.

DNA23 mengupas isu digital dalam masa yang sama bertujuan memperkasakan pihak berkepentingan dalam landskap digital negara.

Tiga teras utama dalam DNA23, iaitu kemakmuran dan kebahagiaan, persediaan masa depan serta etika dan budaya.

Sebelum ini Anwar menjelaskan, kempen memboikot barangan bukan Islam merupakan satu langkah yang tidak sihat dan boleh menimbulkan pertengkaran serta isu antara kaum.

Tegasnya, adalah penting untuk umat Islam mengeluarkan produk yang memudahkan umat Islam sekali gus diterima oleh semua kaum.

Akhir-akhir ini terdapat kempen dalam media sosial oleh segelintir pihak supaya memboikot barangan keluaran bukan Islam dan membeli produk keluaran Bumiputera.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan tidak bersetuju dengan gerakan memboikot itu dan menyifatkan perkara berkenaan hanya dilakukan oleh mereka yang berfikiran cetek.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada sesiapa.

Katanya, rakyat Malaysia seharusnya meraikan kepelbagaian masyarakat dan memanfaatkan kekuatan bersama, terutamanya dalam soal ekonomi.

 



Comments
Loading...