Orang Melayu tak sedar, masih anggap diri ‘Tuan’ – Tun M


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kekecewaannya terhadap sikap orang Melayu yang masih menganggap diri mereka tuan di negara ini walaupun hakikatnya mereka tidak mahu memperbaik nasib mereka sendiri.

(Astro Awani) – Dalam catatan terbaharunya di blog peribadi beliau, chedet.cc, Dr Mahathir berkata kaum Melayu sepatutnya sudah belajar daripada sejarah bagaimana generasi mereka terdahulu tidak mengambil peluang meningkatkan taraf ekonomi sewaktu pemerintahan British.

Namun, beliau berkata, orang Melayu masih enggan bekerja, sebaliknya membiarkan peluang itu direbut kaum lain di negara ini, termasuk tujuh juta orang asing yang masih berada di sini.

“Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar.

“Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja. Orang Melayu masih rela serah segala kerja kepada orang asing. Dan orang asing pun membanjiri Negara kita.

“Tujuh juta orang asing masih berada di sini sekarang ini. Mereka bekerja. Apakah akan terjadi kepada orang Melayu.

“Tentulah apa yang sudah jadi dahulu kepada negara dan orang Melayu, yang akan terus jadi,” tulisnya lagi.

Katanya lagi, orang Cina dan India mula berkecimpung dalam bidang yang dikatakan kotor dan kasar – iaitu bekerja di ladang getah dan lombong biji timah yang dibuka kerajaan British ketika itu.

Malah, tambahnya, orang Cina juga mula menumpukan usaha meningkatkan ekonomi mereka dengan membuka perniagaan di bandar sedia ada.

“Yang tidak terdapat ialah orang Melayu yang berniaga atau bekerja sebagai buruh kasar. Orang Melayu pandang hina bidang-bidang ini.

“Oleh kerana sikap ini tidak terdapat ramai orang Melayu yang tinggal di bandar-bandar. Pada masa itu pun bandar-bandar didiri dan dipenuhi dengan kedai Cina.

“Tidak ada kedai Melayu. Ada beberapa buah kedai makan dan rempah cabai orang India,” kata Perdana Menteri.

Orang Cina, kata Dr Mahathir, biasanya berhijrah ke negara lain jika mereka nampak peluang mencari makan.

“Melihat kestabilan pemerintahan British dan peluang kerja, mereka datang dengan ramai ke negeri-negeri Melayu.

“Mereka sanggup bekerja keras. Dikenali sebagai kuli mereka sanggup buat kerja kotor, kerja berat dan berbahaya.

“Mereka sanggup menarik ‘lanca’, dan apa sahaja yang memberi pendapatan kepada mereka. Ramai perempuan Cina yang menjadi ‘amah’ di rumah pembesar Melayu, menjaga anak dan membersih rumah,” katanya lagi.

Orang Melayu pula, menurut pandangan beliau, berasa senang kerana kerja berat, kotor dan berbahaya serta perniagaan dilakukan oleh orang asing.

“Jika mereka lihat kekayaan dan kemajuan orang asing ini, mereka tidak berasa khuatir sedikit pun. Kepercayaan mereka ialah negeri mereka kekal sebagai milik mereka,” katanya lagi.

Atas sebab itu, Perdana Menteri beranggapan adalah tidak tepat untuk orang Melayu berasakan diri mereka masih ‘tuan’ di negara ini.

“Ada yang dakwa orang Melayu adalah Tuan. Tuan apa? Orang miskin, orang yang tidak ada kebolehan, orang yang bergantung kepada belas kasihan orang lain. Tuan, kah?

“Nasib kita di tangan kita. Memarahi orang lain tak akan menyelesai masalah kita. Bilangan kita dikatakan bertambah.

“Tetapi jumlah besar orang yang miskin tidak dapat bersaing dengan jumlah kecil orang yang kaya,” tulisnya mengakhiri catatan itu.



Comments
Loading...