Surat Terbuka kepada Tun Dr. Mahathir


Isham Jalil

Assalamualaikum Tun,

Selepas solat Jumaat tadi saya baru terbaca penulisan Tun yang disiarkan tadi berkenaan orang-orang Melayu.

Dahulu Tun kerap berkata Melayu pemalas.

Sekarang Tun kata Melayu masih enggan bekerja.

Tun juga masih bernostalgia dan terkenang zaman dahulu kala di zaman British.

Tun kata, “British membuka ladang-ladang getah dan lombong bijih timah. Yang anehnya tidak ada orang Melayu yang bekerja dalam ladang dan lombong ini. Pekerja terdiri dari orang India dan Cina. Perniagaan kedai runcit dan aneka jenis tukang-tukang semuanya terdiri dari orang Cina.”

Tun tentunya tahu British buat begini sebab dasar pecah dan perintah, bukan sebab orang Melayu malas bekerja.

Tun juga kata, “Tidak ada orang Melayu yang bekerja sebagai buruh kasar, dan orang Melayu rela serah segala kerja kepada orang asing.”

Tun kata, “Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja.”

Dan, “Yang tidak terdapat ialah orang Melayu yang berniaga atau bekerja sebagai buruh kasar. Orang Melayu pandang hina bidang-bidang ini.”

Kepada Tun, saya tidak pernah hidup semasa zaman British atau zaman Jepun seperti Tun.

Dan saya juga bukannya seorang billionaire seperti anak-anak Tun, yang mendapat manfaat dari banyak kontrak kerajaan.

Semasa saya muda, saya pernah buat kerja buruh kasar, kerja kilang, jadi waiter, jaga kaunter, buat air dan sebagainya.

Selepas saya tamat pengajian dari universiti pada tahun 1999, keadaan ekonomi amat teruk semasa pentadbiran Tun sebagai PM-4, beratus-ratus ribu orang hilang kerja dan graduan-graduan baru seperti saya sukar untuk mendapat kerja walaupun saya kembali ke tanahair dengan ijazah kelas pertama dari salah sebuah universiti terkemuka di dunia.

Saya telah buat macam-macam kerja yang tidak memerlukan ijazah untuk mencari sesuap nasi termasuk sebagai buruh kasar.

Apabila saya ingin berkahwin dan memulakan keluarga pada awal tahun 2000, keadaan kewangan amatlah sukar kerana ekonomi negara yang telah ranap semasa pentadbiran Tun, saya terpaksa membuat dua kerja selama lebih dua tahun untuk mengumpul wang untuk berkahwin.

Pada ketika itu, pada siang hari saya berkerja di pejabat dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang dan selepas itu terus ke kerja kedua pada malam hari dari pukul 6 petang sehingga pukul 10 malam.

Setiap hari saya berkerja sekurang-kurangnya 14 jam, tidak termasuk masa perjalanan dan menempuh kesesakan jalanraya.

Kini keadaan ekonomi menjadi semakin teruk dan menuju ke arah krisis seperti tahun 1997-1999 dahulu.

Ramai orang hilang kerja dan graduan-graduan terutama graduan Melayu sukar untuk mendapat kerja.

Saya amat faham masalah yang dihadapi oleh orang-orang muda sekarang sebab saya pernah mengharunginya dahulu.

Saya rasa Tun dan keluarga Tun yang kaya raya tidak faham masalah rakyat biasa, dan saya pasti Tun atau anak-anak Tun tidak pernah bekerja seperti saya bekerja dan tidak pernah menjadi buruh kasar.

Sebab itu apabila orang tidak bekerja atau miskin, Tun cepat sahaja panggil mereka pemalas seolah-olah itu pilihan mereka dan seolah-olah mereka yang bersalah ke atas keadaan mereka ini walaupun hal sebenar adalah jauh berbeza.

Orang Melayu bukannya pemalas.

Dan mereka bukan tidak mahu bekerja.

Jika mereka tidak bekerja, mereka tidak makan. Kebanyakan mereka bukan ada simpanan berbillion ringgit di dalam bank seperti keluarga Tun.

Ramai graduan Melayu sekarang yang mempunyai ijazah cemerlang tetapi bekerja sebagai pembantu jualan di kompleks membeli belah, bawa Grabfood dan Food Panda, jual burger dan sebagainya.

Kini Tun mahu mereka jadi buruh kasar dan bawa Gojek pula.

Tun tentunya tahu bahawa beberapa kajian membuktikan bahawa antara sebab graduan Melayu tidak dapat kerja bukan sebab mereka pemalas atau tidak mahu bekerja seperti yang Tun kata, tetapi sebab mereka didiskriminasikan di pasaran kerja.

Menurut kajian, hanya 4% daripada graduan Melayu dipanggil untuk temuduga berbanding 28% graduan Cina dengan kelulusan yang sama.

Saya pasti graduan Melayu yang diberikan tawaran kerja selepas ditemuduga adalah lebih rendah dari 4% tersebut.

Pada saya, kerajaan perlu membuat dasar supaya ekonomi berkembang dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menggunakan teknologi dan akal fikiran untuk rakyat dan graduan-graduan.

Bukan menyuruh rakyat undur ke belakang dan menjadi buruh kasar dan memanggil mereka pemalas apabila peluang pekerjaan tiada akibat kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi.

Tun juga tentunya tahu berkenaan monopoli dan kartel perniagaan kaum lain yang mendiskriminasi ke atas perniagaan orang-orang Melayu.

Tun telah menulis berkenaan ini dengan panjang lebar dalam buku “Malay Dilemma” dahulu.

Jika Tun baca buku “Chinese Dilemma” pula, Tun juga tentunya nampak bahawa masalah perkauman dalam perniagaan adalah nyata berlaku di pasaran, dan hal ini mendatangkan masalah kepada peniaga-peniaga Melayu untuk menembusi rantaian bekalan yang dimonopoli kaum lain.

Akibatnya banyak perniagaan Melayu telah gagal kerana diskriminasi bekalan dan harga yang dikenakan ke atas mereka.

Sebab itu dahulu saya pernah kata salah satu sebab utama orang-orang Melayu masih miskin dan tidak bekerja adalah bukan kerana mereka malas dan tidak mahu kerja, tetapi kerana mereka terus didiskriminasi di negara sendiri.

Dasar-dasar Tun hanya mengayakan kroni-kroni namun tidak mempedulikan orang-orang miskin.

Dahulu Tun pernah berkata, jika Tun mengayakan beberapa orang, orang itu akan mengayakan lebih ramai orang di bawahnya.

Dasar “trickle down economics” Tun ini ternyata tidak berjaya dan tidak benar, kerana beberapa orang kaya kroni-kroni ini telah terus menjadi lebih kaya raya namun kekayaan ini tidak sampai ke bawah.

Di tengah-tengah zaman pemerintahan Tun semasa tahun 1990an, jurang antara yang kaya dan yang miskin telah melebar, perkongsian kekayaan negara kepada golongan 20% teratas (T20) telah meningkat dari 50% ke 52%.

Namun jumlah perkongsian pendapatan negara untuk golongan 40% terbawah (B40) telah menurun dari 15% ke 13%.

Tun sepatutnya mengaku bahawa dasar-dasar Tun selama ini iaitu 23 tahun sebagai Perdana Menteri telah tidak berjaya untuk menghapuskan diskriminasi ke atas orang-orang Melayu ini.

Namun walaupun Tun tentunya tahu berkenaan fakta ini, namun saya pasti Tun tidak akan mengaku bahawa ianya adalah salah Tun, tetapi seperti biasa Tun akan salahkan orang lain.

Dan sebab itu Tun tidak akan berhenti daripada menyalahkan orang Melayu dengan berkata mereka pemalas, tidak mahu bekerja dan tidak sedar diri seperti biasa.

Selagi Tun bersikap begini, selagi itulah kita tidak akan dapat keluar dari kepompong pemikiran begini dan kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah orang-orang Melayu ini.

Yang lebih teruk lagi ialah masalah diskriminasi, prejudis dan bias ke atas orang-orang Melayu oleh kaum lain akan menjadi lebih teruk sebab seorang pemimpin Melayu seperti Tun telah mengaku bahawa orang-orang Melayu ini memang pemalas, walaupun ianya tidak benar dan malah sebaliknya.

Saya tahu pemikiran lama sukar dibuang.

Namun, jika Tun tidak boleh membuang pemikiran lama ini, sekurang-kurangnya dengarlah masalah rakyat semasa.

Rakyat sedang susah. Masa telah berubah. Zaman sekarang bukan seperti zaman dahulu.

Orang Melayu bukannya tidak sedar seperti kata Tun.

Malah mereka sebenarnya sudah terlebih sedar dan sudah pandai menilai dan tidak lagi mudah ditipu, bukan seperti dahulu.

Sebab itu mereka kini tidak lagi percaya kepada tanggapan lama Tun tersebut.

Kita perlu berubah mengikut peredaran zaman.

Dan mengubah pemikiran sejajar dengan persekitaran semasa.

Jika tidak, kita akan terus ketinggalan.

 



Comments
Loading...