Rafizi ramal ‘perkahwinan’ Umno-PAS akan terburai


(FMT) – Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa kerjasama politik PAS-Umno yang sedang diperkuatkan menerusi Himpunan Penyatuan Ummah berlangsung mulai hari ini, tidak akan kekal lama.

Rafizi berkata Umno dan PAS melaungkan penyatuan ummah sedangkan mereka yang saling kafir-mengkafir dan memecahbelahkan ummah selepas kegagalan kerjasama kedua-dua parti Melayu Islam itu pada 1980-an.

“Seperti juga perkahwinan Umno-PAS yang lepas, perkahwinan kali ini juga akan terburai. Hanya tunggu masa kerana mereka tidak tahu siapa yang suami dan siapa yang isteri dalam perkahwinan itu.

“Apabila strategi politik itu tidak menjadi dan mereka berbalah, mereka akan kembali kafir-mengkafir seperti dulu,” katanya menerusi kiriman Facebook hari ini.

PAS pernah menjalin kerjasama dengan Umno awal 1970-an namun tidak kekal. Ketika itu PAS menjatuh hukum Umno sebagai parti “kafir”.

Akibat daripada permusuhan itu, penyokong Umno dan PAS mula berseteru lebih-lebih lagi melalui Amanat Hadi yang menyebabkan berlakunya tragedi berdarah Memali yang mengorbankan 14 nyawa.

Kini, hubungan mereka kembali terjalin, lebih-lebih lagi kedua-duanya bersetuju memeterai piagam kerjasama politik pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra, esok.

Rafizi berkata “perkahwinan” PAS-Umno kali ini juga tidak akan kekal kerana tiada siapa yang tahu siapa pihak lelaki dan perempuan antara kedua parti itu.

“PAS beritahu ahlinya yang dalam perkahwinan itu, PAS adalah lelaki yang memimpin. Kalau PAS ucap saja, jatuh talak 3 jadi Umno tidak boleh main-main.

“Umno beritahu ahlinya PAS adalah jandanya yang sekarang gila talak dengan Umno setelah berpuluh tahun memaki hamun Umno. Umno bukan cinta sangat kepada PAS, cukup untuk dipakai sahaja,” katanya.

 



Comments
Loading...