HPU914 telah menempa sejarah baharu
(Harakah) – Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) telah menempa sejarah baharu sekali gus mengingatkan semula sejarah kejayaan Islam sekitar abad ke-15.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kedatangan Islam di Asia Barat pada suatu ketika dulu telah menyatukan bangsa Arab yang saling berperang sesama sendiri.
Katanya lagi, agama Islam tanpa paksaan dan membawa konsep persaudaraan sesama manusia berjaya melebarkan pengaruh Islam berkembang ke Timur dan Barat sehingga ke Rantau Alam Melayu.
“Sejarah Islam meninggalkan kesan kepada lahirnya lebih tiga ratus juta rumpun Melayu sehingga kini.
“Namun telah dipecahkan oleh penjajah menjadi beberapa negara, termasuk Malaysia, sehingga berpecah lagi dalam satu negara dan bangsa sendiri.
“Kini kita ingin mencipta sejarah baru untuk generasi yang akan datang, dengan kembali semula kepada penyatuan umat dan bangsa, mengikut acuan petunjuk Allah bagi mencapai kejayaan itu,” ucapnya.
Beliau yang berucap dalam HPU914 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mewakili seluruh keluarga besar PAS bersama Gagasan Sejahtera menyampaikan salam persaudaraan kepada keluarga besar Umno, BN dan rakan-rakan NGO.