PM tak tahu pasal projek runding terus bernilai RM450 juta di Kelantan
(Berita Harian) – Tun Dr Mahathir Mohamad akan meneliti dakwaan berhubung penganugerahan sebuah projek di Tunjong, Kelantan yang didakwa dibuat secara rundingan terus.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak pernah meluluskan projek secara rundingan terus sejak mengambil alih kerajaan.
“Saya tidak pernah meluluskan apa-apa. Saya perlu semak mengenai ini, mungkin sebab dulu dia (syarikat) dah dapat dan ia adalah sambungan.
“Kita dapati apabila Pakatan Harapan ambil alih kerajaan, kita hentikan semua kontrak. Bila hentikan kontrak masalah timbul, pekerja tidak meneruskan kerja. Sepatutnya kita hentikan atau buat rundingan semula.
“Saya tak tahu ini kes yang mana, saya perlu semak dulu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, sepucuk surat didakwa mempunyai kaitan dengan penganugerahan projek secara rundingan terus diberi kepada sebuah syarikat untuk pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu di Tunjong, Kelantan bernilai RM450 juta tersebar di media sosial.