Demi Perjuangan, Saya Akan Terus Melangkah
SALLEH SAID
1. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pertama sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum, budaya, agama dan latar belakang tidak kira di mana anda berada. Dari Johor hingga ke Perlis, dan dari Sarawak ke Sabah dan juga Labuan, raikanlah keharmonian dan perpaduan yang telah terpupuk sejak puluhan tahun dahulu.
2. Bulan Mei 2018 menyaksikan satu transisi aman dalam pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan setelah rakyat Malaysia memilih sebuah Kerajaan yang baharu. Sebagai seorang demokrat, saya menerima dan menghormati keputusan rakyat, dan saya berpandangan Kerajaan harus diberikan peluang untuk mentadbir negara dengan nafas yang baharu.
3. Saya terima kekalahan saya di Kota Belud pada PRU14 kerana saya menghormati pilihan pengundi. Dalam dunia politik, tiada kuasa yang lebih hebat daripada suara dan kehendak rakyat. Dalam skala yang lebih besar, saya turut menerima kekalahan Barisan Nasional atas sebab yang sama: Suara rakyat adalah suara keramat.
4. Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya menyokong dan mendukung sepenuhnya proses dan amalan demokrasi di negara kita ini. Sistem demokrasi berparlimen yang dimodelkan menerusi sistem Westminster di Britain, dan amalan pilihan raya berlandaskan konsep first-past-the-post telah sekian lama menjadi tunjang dalam pembangunan, kestabilan dan pembentukan identiti negara.
5. Amalan demokrasi tersebutlah yang membawa kepada pertukaran Kerajaan pada 9 Mei 2018 yang lalu. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan yang dipilih rakyat, dan meletakkan keyakinan kita kepada wakil-wakil rakyat yang telah dipilih untuk menjunjung amanah yang telah diletakkan di atas bahu mereka.