“Keperitan” Merdeka Yang Tidak Dirasa
SALLEH SAID
Bukan senang untuk mencapai kemerdekaan. Perang Revolusi di Amerika berlarutan hingga lapan tahun dengan penumpahan darah. Pun begitu, hanya dua abad selepas itu ia menjadi Amerika Syarikat dengan kesatuan antara 50 negerinya. Lebih menyedihkan, satu abad selepas merdeka, Amerika terpaksa mengharungi satu lagi perang berdarah iaitu perang saudara yang hampir memecah-belahkan negara itu kepada Utara dan Selatan. Begitulah keperitan yang ditanggung oleh Amerika sebelum menjadi Amerika Syarikat yang kita kenali hari ini.
Malaysia lebih bertuah. Kita tidak perlu berperang untuk membebaskan diri dari belenggu penjajahan. Hasil dari kebijaksanaan pemimpin-pemimpin terdahulu, kita diberikan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Begitu juga halnya sewaktu pembentukan Persekutuan Malaysia enam tahun kemudian. Semuanya berlaku setelah mereka duduk berbincang dengan aman, dan rakyat tidak perlu mengangkat senjata.
Namun begitu, “keperitan” Merdeka diikuti pula dengan “keperitan” pembentukan Malaysia tetap dirasai ketika itu walaupun tiada setitis darah pun yang tumpah, dan tiada pula ribuan nyawa yang terkorban. Sebenarnya, secara jujur, “keperitan” tersebut masih dirasai hingga ke hari ini. Namun begitu, saya berpandangan masyarakat di Malaysia Barat tidak dapat merasakan keperitan yang dirasai kami di Malaysia Timur.
Dalam semangat Merdeka, kami sebenarnya banyak bersabar. Kami bersabar kerana kami tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Walau begitu, janganlah anggap bahawa kami berdiam diri kerana kami membenarkan sahaja segalanya berlaku kepada kami. Kami berdiam diri kerana kami bersopan santun. Namun kesopanan dan adab yang baik pun ada batasnya.