Pandikar label Anwar ‘samurai terakhir’, Salleh Keruak sokongnya sebagai PM


(Malaysiakini) – Pernah di pihak yang bertentangan, Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia yang dianjurkan oleh bekas Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia, dan bekas menteri BN Salleh Said Keruak.

Kedua-dua bekas panglima perang Umno itu menganjurkan sambutan berkenaan di Kota Belud di bawah NGO mereka Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo).

Semasa sidang akhbar selepas majlis itu, Pandikar memohon maaf kepada Anwar berhubung beberapa kenyataan yang dibuatnya semasa pilihan raya kecil Sandakan pada Mei lalu, kerana tidak menunaikan janjinya untuk mengurangkan harga minyak.

“Sebenarnya, saya perlu minta maaf, semasa di PRK Sandakan, saya memomok dia, dia kata ‘hari ini kita perintah, harga minyak akan turun’.

“Tetapi ketika berjumpa dengan Anwar, dan lihat laporan itu dan saya sedar, saya begitu bodoh … Apa yang dia katakan sebenarnya adalah ‘hari ini saya ambil sumpah sebagai perdana menteri’, bukan sebagai orang yang keluar dari penjara, bukan sebagai wakil rakyat,” katanya.

Pandikar dipercayai merujuk kepada ucapan Anwar pada kempen pilihan raya umum 2008, 11 tahun lalu.

Sementara itu, bekas speaker itu juga memuji Anwar sebagai penyelamat kesetaraan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat.

“Kami (mahu) merasakan bahawa kami setaraf dengan Semenanjung, jadi itu tanggungjawab kamu (Anwar), sebab itulah saya kata kamu adalah samurai terakhir untuk mempertahankannya,” katanya.

Sementara itu, bekas bendahari Umno Salleh, menyokong Anwar sebagai bakal perdana menteri.

“Pada saya, kami persatuan Usbo ini menyokong sepenuhnya Datuk Seri Anwar Ibrahim seabagai perdana menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pada kita Anwar di landasan betul untuk menyelamatkan Malaysia kerana bagi kita paling bahaya adalah Malaysia (dilanda) politik pelampau kerana kita ada berbilang agama, budaya yang penting penyatuan Malaysia bukan sahaja penyatuan satu-satu bangsa sahaja,” katanya.

Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa Pandikar dan Salleh akan menyertai PKR.

Bagaimanapun, Pandikar berkata tiada apa-apa politik mengenai kehadiran Anwar pada majlis hari ini.

“Tidak ada yang politik, bukannya kita mahu menyertai PKR … ini adalah sokongan tulen, kita menyokongnya kerana reformasi itu,” katanya.

Begitu juga, Anwar berkata acara hari ini adalah acara kebudayaan, dan perkara-perkara parti tidak dibincangkan.

“Tapi saya sambut positif la. Orang sokong saya,” kata presiden PKR itu.

Pandikar dan Salleh menyertai pemimpin Umno Sabah lain yang bertindak meninggalkan parti itu pada bulan Disember lalu.

Bagaimanapun, sementara kebanyakan anggota Umno di Sabah menyertai Bersatu, Salleh dan Pandikar kini tidak menganggotai mana-mana parti.

 



Comments
Loading...