Masalah dalaman PKR cerminan Kabinet Anwar kelak?
Timmy Say, FMT
Masalah rumah tangga berterusan PKR yang diketuai Anwar Ibrahim menggugat keyakinan awam terhadap pentadbirannya kelak, sekiranya betul ditakdirkan beliau akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri satu hari nanti.
Bukan saja PKR mengalami masalah di peringkat pusat, baru-baru ini rakyat juga mendapat tahu masalah turut berlaku dalam pasukan presiden PKR sendiri, apabila bekas pembantu penyelidikan Anwar, Muhammed Yusoff memfailkan saman berhubung kejadian dia diserang setiausaha politik Anwar, iaitu Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Bukan itu saja, Yusoff yang juga cucu bekas presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, SM Mohamed Idris turut memfailkan saman terhadap Tunku Nashrul Tunku Abaidah, setiausaha akhbar Anwar mengenai beberapa kenyataan medianya berhubung kejadian itu.
Setakat ini, Anwar tidak memberikan sebarang komen terhadap isu ini.
Di peringkat pusat pula, PKR bergelut dengan perselisihan antara Anwar dan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali sejak pemilihan parti di mana Anwar didakwa memberikan sokongan penuh kepada Rafizi Ramli untuk mencabar Azmin.
Takdirnya, Azmin tetap menang dan Anwar mendapat seorang timbalan parti yang tidak dikehendakinya.
Hubungan antara Anwar dan Azmin menjadi lebih buruk selepas video seks gay yang didakwa melibatkan Azmin disebarkan secara meluas.
Kebetulan di dalam kes ini, penglibatan Farhash dalam penyebaran video seks tersebut menjadi tanda tanya apabila beliau direman beberapa hari oleh polis bersama Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku salah seorang watak dalam video seks tersebut pada Julai lalu.
Walaupun Anwar menafikan sebarang peranan dalam video itu, tetapi persepsi adalah sebaliknya, terutamanya selepas Farhash ditahan.
Sejak itu, tersebar berita Azmin dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin sering gagal menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti, meskipun diberi peringatan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan juga Anwar sendiri.
Terdapat juga laporan kumpulan yang memihak Azmin memulaukan semua mesyuarat rasmi PKR yang dipengerusikan Anwar sejak kes video seks itu meletup.
Anwar pula berkali-kali menolak tuntutan Zuraida untuk mengadakan mesyuarat damai antara beliau dan pihak yang tidak puas hati dengannya. Anwar bertegas mereka boleh berjumpa dalam mesyuarat biasa PKR yang dipulaukan Azmin dan Zuraida.
Dalam suasana rumah tangga PKR yang huru-hara, isu bila beliau akan menggantikan Mahathir masih menjadi topik utama yang menyelubungi Anwar.
Huru-hara rumah tangga PKR sebenarnya amat menggugat keyakinan awam terhadap kepimpinan Anwar. Bayangkan keadaan PKR hari ini ialah keadaan Kabinet Anwar satu hari nanti.
Apakah ahli badan penasihat perdana menteri akan saman sesama sendiri? Apakah wujud kem menteri di Kabinet yang tidak suka Anwar yang memulaukan mesyuarat Kabinet?
Apakah tiba-tiba akan muncul video skandal seks terhadap mana-mana menteri dan setiausaha politik sendiri pula direman untuk membantu siasatan?
Berdasarkan prestasi PKR hari ini, percayalah majoriti rakyat lebih rela Mahathir terus mentadbir kerajaan sehingga habis penggal 5 tahun.
Jika Mahathir terpaksa bersara awal, rakyat lebih rela beliau membubarkan Parlimen dan menuntut Anwar mendapatkan mandat menjadi perdana menteri daripada rakyat, berbanding Mahathir menyerahkan kerusi perdana menteri kepada Anwar begitu saja.
Oleh itu, keutamaan Anwar hari ini sepatutnya ialah memperbaiki PKR dan imejnya. Jika parti dapat dipersepsikan ia sedang ditadbir dengan baik, maka secara langsung ia akan mencerminkan kebolehan pentadbiran Anwar.
Ketika itu, rakyat tidak akan membantah apabila Mahathir menyerahkan jawatan perdana menteri kepadanya.