Lawan Berita Palsu, DAP harus Cermin Diri Sendiri
ZAHIDA ZARIK KHAN
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
“I want to issue a challenge to all political parties, whether in government or opposition, either at the national or the state level, to take a united and firm stand against fake news and hate speech.
“Are the opposition parties prepared to attend a roundtable conference to combat fake news and hate speech? If so, the DAP is prepared to host such a roundtable conference,” kata Lim Kit Siang pada 22 September 2019.
Ini memanglah satu matlamat dan usaha yang murni dan ianya harus disokong semua pihak tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.
Kita sejak dahulu tetap konsisten memerangi segala bentuk Fitnah dan berita palsu yang secara mudah tersebar di media lebih-lebih lagi di zaman moden kini.
Ia dibuktikan apabila Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan di Dewan Rakyat pada 2 April 2018 pada era pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional.
Ironinya, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dimansuhkan pula di dewan rakyat yang sama pada 16 Ogos 2018 hanya empat bulan selepas Pakatan Harapan menang mengambil alih Putrajaya.
Persoalannya, adakah DAP akan menawarkan diri mereka sebagai penyelesai kepada masalah atau pun DAP adalah punca pada masalah ini? Seperti kata peribahasa Melayu ‘Cermin diri sendiri’. Selepas menang dalam PRU14 bersenjatakan Fitnah dan berita palsu, sekarang kalian cuba untuk berlagak suci?
DAP memberi gambaran seolah-olah yang masalah ini berpunca dari orang lain dan bukannya dari mereka sendiri.
Sekiranyalah DAP ini betul-betul ikhlas dengan tawaran mereka, maka DAP terlebih dahulu perlulah berikrar bahawa mereka akan menghapuskan semua permainan politik parti yang dibuat oleh mereka terutamanya melibatkan berita palsu dan berita yang menimbulkan kebencian antara kaum.
DAP sepatutnya berjanji agar mereka sendiri akan bermula untuk mengamalkan politik bersih dan barulah mereka menjemput orang lain menyertai budaya politik bersih seperti cadangan DAP itu sendiri.