Hadi tak layan, ‘saya bukan ahli LGBT’


(Malaysiakini) -Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan sebuah akhbar Cina yang menyiarkan karya grafik ‘perkahwinan’ beliau dan Presiden Umno Zahid Hamidi sebagai ketandusan idea.

Katanya, gambaran di akhbar Sabah Overseas Chinese Daily News itu tidak sesuai terhadap pemimpin PAS dan Umno.

“Saya tak jadi ahli LGBT, tanya orang yang jadi ahli atau penasihat dia. Saya tak berkait dengan LGBT. Itu terpulang kepada dia, sepatutnya kena kepada orang (lain).

“Itu sesuai dengan LGBT dan kita bukan ahli LGBT, tak setuju dan tak sesuai dengan parti kita, dengan Umno pun tak sesuai. Kalau nak kahwin biar kena ‘sekufu’ dia,” lapor Harakahdaily.

Berdasarkan klip akhbar itu, gambar Zahid dan Hadi diubah suai supaya kelihatan seperti pasangan pengantin.

Zahid berpakaian dasi dan bertali leher tetapi Hadi digambarkan sebagai pengantin wanita yang memakai gaun perkahwinan.

Latar belakang gambar hitam putih itu dihiasi corak bunga-bunga cerah.

Sementara itu, Hadi selepas menyampaikan kuliah dhuha di Kuala Terengganu hari ini berkata tindakan akhbar itu ketandusan idea.

“Mungkin mereka terdesak dan tak ada idea. Bila tidak ada idea, cari macam-macam idea. Saya tak layan dan saya tak ada kena-mengena dengan LGBT ini. Biar masyarakat menilai sendiri (perbuatan) itu,” katanya.

“Perbuatan itu akan dinilai oleh masyarakat yang semua orang tahu tindakan tersebut tidak sesuai dengan PAS mahupun Umno,” tambahnya lagi.

Overseas Chinese Daily News menyiarkan gambar itu selepas berlakunya kerjasama Muafakat Nasional Umno dan PAS, pada 14 September lalu.

Umno telah pun menyelar tindakan akhbar tersebut.

 



Comments
Loading...