Polis dan AG perlu bertindak ikut undang-undang


PAS berpuas hati dengan keputusan (verdict) Inkues Kematian Allahyarham Muhammad Adib bin Mohd Kassim yang telah dibuat oleh Koroner Rofiah Mohamad hari ini iaitu “kecederaan dan kematian Allahyarham adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali”.
Dengan ini PAS menggesa pihak PDRM agar dengan segera menubuhkan Pasukan Siasatan Khas dan membuka semula Kertas Siasatan kes ini bagi menyiasatnya sehingga ke akar umbi. Pihak Polis juga perlu menerima keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner sebagai keterangan prima facie. PAS yakin pihak Polis dengan bantuan semua pihak yang mahukan keadilan ditegakkan terutama melibatkan penjawat awam yang mati semasa dalam tugas mampu menangkap dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
PAS turut menggesa Prosiding Menghina Mahkamah terhadap Peguam Negara (AG) diteruskan dengan tanpa gangguan bagi memperlihatkan keadilan ditegakkan dengan tanpa gentar atau memihak (without fear or favour). Tindakan ini perlu bagi meningkatkan keyakinan rakyat jelata terhadap Jabatan Peguam Negara khasnya dalam menegakkan keluhuran undang-undang dan menjamin keadilan.
Terima kasih.
DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS


Comments
Loading...