Kerajaan Perlu Beri Galakan Kepada Rakyat Yang Bekerja Sendiri
Salleh Said
1. Di United Kingdom, jumlah mereka yang bekerja sendiri telah meningkat sejak 20 tahun kebelakangan ini dan mereka kini merangkumi 15% daripada jumlah tenaga kerja di Britain. Dalam tempoh yang sama, jumlah anak muda berumur 16 hingga 24 tahun yang bekerja sendiri telah turut naik dua kali ganda.
2. Merentasi Kesatuan Eropah, mereka yang bekerja sendiri juga adalah kira-kira 15% daripada jumlah tenaga kerja, dengan Itali merangkumi 25%. Tren ini turut berlaku di banyak negara lain, sebagai contoh New Zealand (20%), Korea (25%), Turki (35%), Brazil (35%) dan Greece (35%).
3. Terdapat banyak sebab kenapa ramai memilih untuk bekerja sendiri dan ketiadaan peluang pekerjaan bukanlah selalunya menjadi sebab utama. Sebagai contoh, di Malaysia terdapat seramai 500,000 rakyat yang tidak bekerja berbanding dengan kewujudan seramai tujuh juta pekerja asing. Alasan tiada peluang pekerjaan tidak boleh digunakan sama sekali memandangkan terdapat lebih ramai pekerja asing daripada rakyat yang tidak bekerja.
4. Salah satu sebab kenapa ramai memilih untuk bekerja sendiri adalah disebabkan gaji yang rendah. Mereka boleh memperolehi gaji yang lebih banyak daripada bekerja tetap. Saya sendiri kenal beberapa orang yang menamatkan pengajian dari universiti luar negara namun memilih untuk bekerja sendiri. Mereka boleh mendapatkan gaji selama tiga bulan yang hampir sama jumlahnya dengan setahun gaji sekiranya mereka bekerja tetap.