Ahli UMNO masuk PPBM mula rasa ‘pengorbanan maruah’ sia-sia – Shahrir Samad
(Malaysia Gazette) – Ahli UMNO yang melompat parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah mula merasakan ‘pengorbanan’ mereka akan menjadi sia-sia jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri (PM).
Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sungguhpun kepimpinan dan akar umbi UMNO menolak politik berasas kepada hanya pilihan antara ‘Anwar atau Mahathir’ dan lebih condong kepada penentuan masa depan politik negara melalui pilihanraya, Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) turut terdesak oleh bekas Ahli Parlimen UMNO yang melompat ke PPBM.
“Mereka sudah mula merasakan bahawa ‘pengorbanan’ maruah diri mereka mungkin menjadi sia-sia kalau Anwar tidak dapat dihalang menjadi PM.
“Inilah dorongan untuk mereka melompat. Untuk menghalang Anwar dari menjadi PM seperti janji Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) kepada mereka yang sanggup menggadai maruah diri mereka.
“Maka tidaklah luarbiasa apabila (Datuk Seri) Hamzah Zainudin dan rakan-rakannya selompatan telah ke hadapan menganjurkan satu kongres untuk membincangkan ‘maruah’ bangsa Melayu pula,” dakwa Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu dalam kenyataan.
Menurut Shahrir, manalah tahu, kongres ‘maruah’ Melayu ini akan menjadi sama sebagai penentu masa depan bangsa seperti Kongres Melayu 1946 yang menyatukan orang-orang Melayu untuk menentang gagasan Malayan Union.
“Manalah tahu. Tapi dulu Malayan Union. Hari ini, Anwar Ibrahim. Dulu maruah bangsa, hari ini maruah ahli politik yang tersalah langkah.
“Bagi Tun Mahathir, ianya bukan soal maruah dirinya atau maruah bangsa, mahupun maruah negara. Ianya bagaimana beliau bolih turun dengan selamat dari harimau yang ditunggangnya. Harimau itu ialah Anwar Ibrahim,” dakwanya.
Kata Shahrir, gesaan Perdana Menteri untuk mewujudkan gabungan parti-parti politik Melayu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Tambah beliau, ia telah disampaikan oleh Dr. Mahathir kepada kepimpinan UMNO buat pertama kalinya setelah lompatan Ahli Parlimen UMNO ke PPBM terhenti.
Selain itu, ujarnya, cadangan mewujudkan gabungan parti-parti politik Melayu dilakukan kerana pelawaan kepada mereka yang masih dalam UMNO untuk menjadi ahli parlimen bebas tapi menyokong PPBM juga telah gagal.
“Dorongan kepada gabungan parti-parti politik Melayu, iaitu usaha yang ketiga ini, ialah semata-mata untuk menyekat DS Anwar Ibrahim dari menjadi PM.
“Inilah sebabnya bancian telah dibuat terhadap pendirian di kalangan ahli-ahli parlimen UMNO, soalannya simple sahaja: Anwar atau Mahathir?,” katanya.
Shahrir mendakwa, kumpulan yang diketuai oleh Hamzah merupakan golongan yang jelas tidak mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri dan rela meninggalkan UMNO untuk bersama Dr. Mahathir.
Sememangnya tambah beliau, ia merupakan langkah politik yang ada asas dan logik namun dalam politik, sifat kesementaraan asas itu terbukti setelah UMNO dan Pas memantapkan kerjasama pada pilihanraya kecil Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.
Kini, kerjasama antara UMNO dan Pas yang bermula dengan konsep Penyatuan Ummah menjelma sebagai Muafakat Nasional, iaitu satu gagasan bagi masa depan rakyat dan negara menjelang PRU15 dan sebagai suatu pemerintahan politik negara.