‘Ilmu hisab mana PH pakai, pengiraan sasaran KDNK 2030 salah’
(Malaysiakini) – Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan kemahiran matematik menteri Pakatan Harapan (PH) dengan berkata bahawa pengiraan Putrajaya dalam menyasarkan nominal RM3.4 trillion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030 adalah salah.
Terdahulu, berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang diumumkan, sasaran itu bakal tercapai jika KDNK negara naik pada kadar purata sebanyak 4.7 peratus setahun dari 2021 hingga 2030.
Bagaimanapun, Najib menjelaskan pengiraan tersebut salah dan kadar purata perlu barada dalam anggaran 7.36 peratus setahun untuk mencapai sasaran.
Ini adalah kerana KDNK untuk tahun 2018 adalah RM1.45 trilion.
Pada kadar 4.7 peratus, Najib berkata KDNK hanya akan berjumlah RM2.53 trilion menjelang 2030.
Najib menggunakan rumusan kadar pertumbuhan tahunan bagi menunjukkan bahawa pengiraan matematik Putrajaya adalah salah.
Dua hari lepas, sebelum WKB2030 diketahui umum, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) juga menyatakan bahawa KDNK perlu berkembang antara 6 hingga 8 peratus untuk mencapai sasaran 2030, walaupun tidak jelas sasarannya pada masa itu.
Malaysiakini membuat pengiraan ulang berkenaan perkara tersebut dan mendapati bahawa pengiraan yang dibuat Najib betul.
Berdasarkan pengiraan Malaysiakini, bagi memastikan sasran kerajaan Pakatan Harapan dicapai, pertumbuhan KDNK pada 2019 dan 2021 perlu berada pada tahap 15.77 peratus.
Bagaimanapun, Bank Dunia menganggarkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2019 hanya pada 4.6 peratus.
China, yang merupakan antara negara ekonomi paling pesat berkembang di dunia, meningkatkan pertumbuhan dua digit KDNK terakhir pada tahun 2010.
Sejak itu ia semakin menurun, dengan pertumbuhan KDNK 2018 pada 6.9 peratus.
Terdapat hujah diperkatakan bahawa terdapat angka yang berbeza bagi jumlah KDNK sebenar dan nominal.
Secara ringkas, KDNK sebenar menyesuaikan angka nominal untuk menjelaskan kadar inflasi atau deflasi.
Bagaimanapun, angka KDNK nominal suku tahunan menunjukkan bahawa Malaysia mungkin tidak mempunyai perbezaan yang ketara untuk 2018.
Jadi, sasaran pertumbuhan 4.7 peratus masih tidak akan menghasilkan KDNK sebanyak RM3.4 trilion pada tahun 2030.