Dr Mahathir dedah dinasihat supaya tidak hadir Kongres Maruah Melayu


(Malaysia Gazette) – Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau telah dinasihati oleh beberapa orang supaya tidak hadir perjumpaan Kongres Maruah Melayu hari ini.

Sambil mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang berucap di hadapan kumpulan orang Melayu, perdana menteri berkata, kehadirannya di kongres itu bukan soal parti dan juga bukan soal kumpulan tertentu.

“Yang akan dibincangkan ialah maruah orang Melayu dan saya sebagai orang Melayu berhak dan perlu hadir dalam mesyuarat ini,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh para peserta kongres yang memenuhi Stadium Tertutup Malawati di sini.

Sehubungan dengan itu, Dr Mahathir juga mengingatkan pihak-pihak tertentu bahawa beliau biasa berucap di hadapan kumpulan bukan Melayu.

“Tidak ada siapa menegur, tidak ada orang Melayu berkata awak jangan hadir perhimpunan bukan Melayu.

“Apatah lagi kita akan bincang maruah orang Melayu dan saya sebagai orang Melayu juga ingin mengambil bahagian dalam perbincangan ini,” katanya.

Kongres Maruah Melayu dianjurkan Universiti Malaya bersama Universiti Teknologi Mara, Universiti Perguruan Sultan Idris dan Universiti Putra Malaysia.

 



Comments
Loading...