TUN M AKUI KEKUATAN KEMELAYUAN DALAM KERAJAAN TIDAK SEKUAT DULU


(New Malaysian Post) – TUN Dr Mahathir Mohamad mengakui elemen kemelayuan yang ada dalam kerajaan yang dipimpinnya hari ini tidak sekuat seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, kekuatan itu hilang apabila orang Melayu berpecah sesama sendiri bagi merebut kekuasaan dalam negara.

“Saya nak mengaku di sini bahawa kerajaan – walaupun dipimpin oleh orang Melayu – tidak sekuat kemelayuannya pada hari ini.

“Kalau dahulu kita boleh harap kerana kerajaan dipimpin oleh orang Melayu, memang kuat.

“Sekarang tidak kuat kerana mahu tidak mahu, kita kena ambil kira perasaan orang lain,” katanya pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, hari ini.

Program itu turut dihadiri beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Mahathir berkata, jika tidak mengambil tahu perasaan pihak lain yang ada dalam kerajaan semasa, ia boleh menyebabkan pihak pemerintah mengalami kekalahan dalam pilihan raya.

Justeru, kata beliau, perpecahan orang Melayu yang terbahagi kepada enam kumpulan menyebabkan tiada ada satu pun kumpulan yang mampu menarik sokongan Melayu lebih 50 peratus.

 



Comments
Loading...