Intipati Belanjawan 2020


(Bernama) – Berikut ialah intipati ekonomi Belanjawan 2020 bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama” yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Parlimen hari ini.

Kerajaan memulakan langkah untuk mengkaji secara menyeluruh dan merombak kerangka insentif sedia ada yang merangkumi Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Pakej Galakan Istimewa dan insentif di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Kerangka baharu ini dijangka akan siap pada 1 Januari 2021.

Kerajaan menyediakan pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh lima tahun. Ini adalah sebahagian daripada langkah strategik untuk menarik syarikat Fortune 500 dan ‘global unicorns’ dalam sektor berteknologi tinggi, pembuatan, kreatif dan ekonomi baharu.

Kerajaan memperuntukkan RM10 juta kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk meningkatkan pemantauan dan memastikan pelaburan direalisasikan selepas diluluskan. Kerajaan akan memberikan pengecualian cukai pendapatan sehingga 10 tahun kepada syarikat elektrik dan elektronik (E&E) yang melabur dalam perkhidmatan berasaskan pengetahuan.

Kerajaan akan memberikan Elaun Cukai Pelaburan Khas untuk menggalakkan syarikat E&E sedia ada yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula untuk terus kekal melabur di Malaysia.

Kerajaan akan menyediakan Elaun Modal Dipercepatkan dan Elaun Modal Kelengkapan Automasi bagi sektor pembuatan untuk syarikat yang membuat perbelanjaan ke atas RM2 juta dan RM4 juta pertama perbelanjaan modal yang layak dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2023.

Galakan ini juga turut diperluaskan kepada sektor perkhidmatan bagi syarikat yang membuat perbelanjaan ke atas RM2 juta pertama bagi perbelanjaan modal yang layak untuk tempoh mulai tahun taksiran 2020 sehingga tahun taksiran 2023

Kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta untuk pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya ke Pelabuhan Klang.

Kementerian Pengangkutan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek Serendah-Pelabuhan Klang untuk penghantaran kargo serta kajian kebolehlaksanaan Koridor Logistik Klang iaitu lebuh raya logistik baharu yang akan dibangunkan khusus untuk menghubungkan Northport dan Westport, dan kedua-duanya dianggarkan bernilai RM8.3 bilion

Kerajaan memperuntukkan tambahan RM50 juta untuk menggalakkan kerjasama awam-swasta bagi bagi kawasan Zon Ekonomi Sempadan Khas Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam

RM1.1 bilion diperuntukkan untuk menyokong projek bagi aktiviti pembangunan koridor termasuk RM50 juta untuk pembangunan Taman Industri Lembah Chuping di Perlis dan RM69.5 juta untuk projek-projek berkaitan Kuantan.

Kerajaan akan membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk membentuk Digital Malaysia melalui kerjasama awam swasta, melibatkan pelaburan sebanyak RM21.6 bilion, dan kerajaan akan membiayai sekurang-kurangnya separuh.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan memperuntukkan RM250 juta untuk memanfaatkan pelbagai teknologi, termasuk melalui teknologi satelit.

Kerajaan akan memperkenalkan Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta.RM25 juta akan diperuntukkan untuk menyediakan dana geran padanan secara bidaan untuk menggalakkan lebih banyak projek perintis aplikasi digital bagi dron penghantar, kenderaan pandu sendiri dan teknologi blockchain.

Kerajaan memperuntukkan RM20 juta kepada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) untuk mengembangkan jaguh tempatan dalam mewujudkan kandungan digital.

Kerajaan akan menyediakan 50 peratus geran padanan sehingga RM5,000 setiap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima pakai langkah pendigitalan operasi mereka seperti sistem jualan elektronik.

Kerajaan memperuntukkan RM550 juta untuk menyediakan geran padanan Automasi Pintar kepada 1,000 syarikat pembuatan dan 1,000 syarikat perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan mereka.

Sejumlah RM70 juta diperuntukkan kepada MDEC untuk menubuhkan 14 Pusat Peningkatan Digital Sehenti di semua negeri untuk memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan.

Kerajaan akan menyediakan RM20 juta kepada Cradle Fund untuk menggalakkan inovasi di peringkat awal.

RM10 juta diperuntukkan kepada MDEC untuk melatih usahawan mikro-digital dan pakar teknologi memanfaatkan e-Pasaran dan platform media sosial untuk menjual produk mereka.

RM450 juta diperuntukkan kepada Khazanah Nasional untuk melaksanakan rangsangan digital untuk meningkatkan jumlah rakyat Malaysia, peniaga dan PKS menggunakan e-dompet.

RM500 juta diperuntukkan kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dalam menjamin kemudahan yang diperuntukkan untuk usahawan wanita.

Peruntukan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita, dengan tawaran pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap PKS.

Peruntukan dana RM300 juta untuk menyokong PKS yang berpotensi menjadi jaguh serantau, dengan keutamaan diberikan kepada pengeluar produk halal serta pengeluar produk dengan kandungan tempatan yang tinggi.

Peruntukan RM10 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan untuk memberi tumpuan kepada khidmat nasihat dan kesedaran untuk pensijilan halal, pembangunan produk halal dan menyediakan platform untuk industri tempatan bersaing di pasaran halal antarabangsa yang bernilai AS$3 trilion.

Siling Geran Pembangunan Pasaran setiap syarikat dinaikkan kepada RM300,000 setahun daripada RM200,000.

Kerajaan menaikkan siling penyertaan dalam setiap pameran eksport kepada RM25,000 daripada RM15,000.

RM50 juta diperuntukkan untuk menggalakkan PKS menyertai lebih banyak aktiviti promosi.

Kerajaan memperuntukkan tambahan RM50 juta kepada My Co-Investment Fund di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk membantu PKS yang sukar mendapat akses pembiayaan.

Kerajaan menyediakan RM1 bilion dalam bentuk jaminan padanan dengan nisbah 1:5 untuk dana ekuiti swasta khusus untuk melabur dalam konsortium Malaysia untuk memangkin dan menggalakkan pembiayaan kepada konsortium pembinaan yang membida projek dan konsesi di luar negara.

RM150 juta untuk semua program pembangunan dan peningkatan kemahiran keusahawanan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.

RM75 juta oleh SME Corporation untuk membina kapasiti PKS Bumiputera.

RM170 juta untuk akses pembiayaan melalui TEKUN, SME Bank dan Pelaburan Hartanah Bhd.RM50 juta untuk program keusahawanan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Kerajaan menyokong projek-projek melalui program pembiayaan di bawah Bank Pembangunan Malaysia Bhd, menawarkan subsidi faedah dua peratus setahun melalui Dana Maritim dan Logistik (RM1 bilion) dan Dana Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM2 bilion.

Dana Transformasi Pendigitalan Industri akan menyokong pelaksanaan projek kesalinghubungan digital.

Saiz Dana Pembiayaan Pembangunan Mampan ditingkatkan kepada RM2 bilion daripada RM1 bilion.

Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi pinjaman perniagaan kecil di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina melalui Bank Simpanan Nasional dan RM20 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India TEKUN Nasional, masing-masing pada kadar faedah sebanyak empat peratus.

 



Comments
Loading...