Belanjawan 2020 hanya cukup makan – Ibrahim Ali


(Malaysia Gazette) – Secara keseluruhan Belanjawan 2020 yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) petang ini, adalah cukup makan ibarat kais pagi makan pagi.

Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali turut menyifatkan belanjawan itu tidak boleh menghilangkan tekanan rakyat.

Katanya, beliau sangsi dengan angka inflasi yang dikatakan sedikit berkurangan atau menurun, tetapi secara realiti ia masih menekan rakyat dengan kos sara hidup.

“Saya gembira sedikit dengan pengenalan semula pendaftaran grade G1 kontraktor Bumiputera dan dikhaskan 30 peratus kontrak untuk mereka di setiap kementerian secara tender terbuka.

“Namun nilai kontrak RM1.3 bilion adalah terlalu kecil dengan mengambil kira ekonomi Bumiputera yang semakin menguncup,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dr. Ibrahim membuat kesimpulan, belanjawan untuk golongan Bumiputera dalam kontek ‘tindakan kesungguhan’ atau afirmative action amat mengecewakan.

Sewajarnya, tegas beliau, lebih banyak tindakan kesungguhan dengan peruntukan lebih besar jika kerajaan PH bersungguh-sungguh untuk merapatkan jurang pembahagian kek ekonomi negara secara adil bagi semua kaum.

“Kena ingat, kaum Bumiputera 67 peratus. Ibarat kata mengambil semua perkara yang melibatkan kepentingan Bumiputera, ianya sekadar untuk hidup, bukan untuk berlari serta mampu bersaing dengan kaum lain.

“Apa makna kesaksamaan antara kaum dalam kontek pendapatan dan pemilikan harta atau kekayaan.

“Contoh geran yang begitu terhad untuk premis perniagaan dan tidak mampu untuk memiliki premis dari segi pemilikan seperti rumah kedai, premis perniagaan atau pejabat atau lot dalam gedung-gedung besar,” katanya.

Katanya, peruntukan disediakan dari segi geran hanya setitik air mata dan sekadar sepatah kata, tiada apa yang boleh bertepuk kuat untuk Bumiputera.

Ini kerana, nilai rumah atau pangsapuri RM600,000 pula boleh dibeli oleh orang asing diturunkan dari RM1 juta ke atas dengan alasan banyak tidak terjual, tapi ini bahaya dalam erti yang tersirat.

“Doa saya, janganlah Bumiputera khususnya orang Melayu apabila mendengar bunyi guruh di langit yang disangka akan hujan, tempayan di rumah sudah dipecahkan.

“Perlu ingat, agenda ekonomi Bumiputera sepatutnya menjadi induk kepada belanjawan negara, di samping tumpuan kepada dasar keperluan semua kaun bagi B40 ke bawah,” katanya.

Beliau menegaskan, membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum di peringkat bawah disokong, namun pembahagian kek ekonomi negara di semua aspek tidak ada tolak ansur dari segi perjuangan parti Putra dan NGO Perkasa.

“Nampaknya Kelantan tidak dapat apa-apa peruntukan khas terutama tambatan banjir Sungai Golok dan Sungai Kelantan serta projek yang diumumkan sebelum ini.

“Sebagai anak Kelantan, sudah tentu saya berasa sedih, tambahan pula duit royalti pun belum dibayar lagi,” katanya.

 



Comments
Loading...