Jangan guna ‘jalan belakang’ untuk jadi ahli Kabinet, DAP selar Hishammuddin


(FMT) – DAP tetap menyelar Hishammuddin Hussein walaupun ahli Parlimen Sembrong itu menafikan beliau mahu berkempen dan membawa idea kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook berkata Hishammuddin perlu hormat mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 dan memberi amaran tidak menggunakan “jalan belakang” untuk menjadi ahli Kabinet.

“Rujuk kepada kenyataan bersama ahli PH semalam.

“Mereka dah kalah, kita diberi mandat untuk tadbir negeri sehingga akhir tempoh mandat. Itu kena hormat termasuk pembangkang yang kalah,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beliau juga menasihati Hishammuddin jangan kucar-kacirkan kerajaan.

“Jangan lupa mereka kalah, jangan cuba guna jalan belakang untuk jadi anggota Kabinet,” katanya.

Terdahulu, Hishammuddin membidas tindakan PH menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut dan tidak faham kenapa PH perlu keluar kenyataan rasmi.

Semalam, Majlis Setiausaha PH menggesa Hishammuddin dan rakan-rakannya menghentikan kempen mereka yang cuba mengetengahkan idea kerajaan tanpa DAP dan Amanah.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah berkata, kecenderungan kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum adalah “politik usang” yang bercanggah sama sekali dengan politik “inklusif” yang dipelopori PH.

Kenyataan itu ditandatangani bersama empat setiausaha agung komponen PH iaitu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Marzuki Yahya (PPBM), Anuar Tahir (Amanah) dan Loke.

Saifuddin berkata PH berpegang kepada muafakat yang dipersetujui PKR, PPBM, Amanah, dan DAP, dan kerjasamanya dengan Warisan.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Presiden partinya, Anwar Ibrahim sudah mempunyai maklumat mengenai idea Hishamuddin dan sebab itu dibangkitkan di Dewan Rakyat semalam.

“Kita telah sepakat dalam PH dan polisi kerajaan adalah untuk mencerminkan kepelbagaian dalam negara kita.

“Dan gabungan kita telah pun bertahan sehingga hari ini tanpa ada sebarang masalah besar,” katanya.

 



Comments
Loading...