Orang kata kamu ikut rentak tok dalang, wakil rakyat beritahu PH
(FMT) – Charles Santiago menggesa pemimpin tertinggi Pakatan Harapan jangan berdiam diri dan tangani persepsi mereka “tidak bertulang belakang” dan “menari ikut rentak beberapa tok dalang”.
“Turun ke bawah dan dengar kemarahan dalam suara rakyat dan kamu akan tahu masa untuk kita malu-malu bersuara sudah tamat,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Klang itu, antara pemimpin DAP yang lantang mengkritik penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) terhadap belasan orang yang dituduh mempunyai kaitan dengan Tamil Tigers berkata, majlis presiden PH mesti nasihat kerajaan agar memansuhkan Sosma.
Beliau berkata orang ramai melihat kebisuan majlis itu sebagai tanda kelemahan.
Beliau menambah rakyat yang mengundi PH tahun lepas sudah habis sabar dengan kegagalan gabungan itu memenuhi janji pilihan raya memansuhkan undang-undang itu.
“Kita berjanji dalam manifesto pilihan raya kita kan? Jadi apa yang halang kita tunaikan janji kita?
“Ramai dalam kalangan kita bersuara apabila Umno menggunakan undang-undang pencegahan bagi mengawal bantahan,” kata Santiago.
Beliau berkata walaupun beberapa wakil rakyat bersuara terhadap penggunaan Sosma, suara mereka tidak diendahkan.
“Tahap kemarahan dalam suara mereka menyebabkan saya rasa malu kerana soalan-soalan mereka berasas,” kata Santiago.