Tolak Anwar sebagai PM, pembangkang boleh bermimpi, kata PKR


(FMT) – Pembangkang boleh bermimpi untuk tidak melihat Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri sebelum pilihan raya umum ke-15, kata PKR.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata, proses peralihan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar pasti akan berlaku sebelum tamat penggal pentadbiran kerajaan kerana ia telah dipersetujui gabungan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, kenyataan terbaru ahli Parlimen PAS dan beberapa orang wakil Umno yang menyokong supaya Mahathir terus diberi mandat sehingga tamat penggal lima tahun tidak akan memberi kesan kepada gabungan PH.

“Saya rasa ini pandangan beberapa individu melibatkan wakil rakyat Umno (sokong Mahathir), kalau kita lihat kenyataan presiden Umno menampakkan tidak semua dalam Umno bersetuju dengan enam wakil rakyat itu.

“Saya rasa tidak ada halangan untuk mereka (wakil rakyat PAS dan Umno) untuk mengimpikan sesuatu (Mahathir kekal sehingga tamat penggal), tetapi bagi kami PH tidak terjejas dengan sebarang kenyataan ataupun sokongan begitu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis syarahan umum Anwar di Universiti Malaya malam tadi.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru semua 18 ahli Parlimen PAS dan enam dari Umno menyatakan sokongan kepada Mahathir supaya kekal mengetuai kerajaan sehingga tamat penggal.

Mereka mahu Mahathir kekal sebagai perdana menteri bagi memastikan fokus diberikan, terutama kepada aspek kestabilan politik dan ekonomi negara.

Sokongan itu dinyatakan susulan kenyataan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan bertegas mahu Mahathir terus diberi mandat sehingga pilihan raya umum akan datang, selain menganggap usaha memendekkan tempoh kepimpinan beliau sebagai percubaan mewujudkan kerajaan “pintu belakang”.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata percubaan pihak tertentu membentuk kerajaan baru melibatkan wakil rakyat pembangkang akan gagal.

Katanya, ini kerana Mahathir sendiri beberapa kali menegaskan beliau menolak sebarang pembentukan kerajaan melalui cara itu.

“Saya rasa pendirian beliau kekal dan perancangan untuk peralihan kuasa itu tetap seperti persetujuan Majlis Presiden PH,” katanya, merujuk kepada dakwaan usaha pembentukan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah yang dikatakan diketuai oleh ahli Parlimen Sembrong HishammuddinHussein.

Bekas naib presiden Umno itu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

“Kalau sayalah, saya akan lebih risau tentang isu helikopter tentera yang tidak sampai-sampai, tentang menghantar tentera ke Yemen dalam satu operasi tidak dipersetujui oleh Kabinet.

“Bagi saya, pihak-pihak tertentu perlu bersiap sedia menghadapi keadaan apabila perkara-perkara itu akan timbul. Jadi bersiap sedialah,” tambah Fahmi merujuk kepada laporan terbaru Kementerian Pertahanan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian helikopter bernilai lebih RM300 juta semasa pentadbiran lepas yang sehingga kini belum dihantar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Hishammuddin merupakan menteri pertahanan dalam Kabinet lepas.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya adakah Azmin dan setiausaha politiknya, Hilman Idham akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin PKR susulan klip video lucah yang dikaitkan dengan menteri hal ehwal ekonomi itu, Fahmi berkata ia belum sampai ke tahap itu.

“Tidak ada, setahu saya tidak ada,” katanya ringkas.

 



Comments
Loading...