Penyelidik deradikalisasi beri amaran kemungkinan rusuhan kaum
“Adakah kemungkinan bahawa negara sedang menuju ke 13 Mei 1969? Saya yakin ia boleh berlaku.”
(Malaysiakini) – Penasihat program deradikalisasi polis memberi amaran bahawa negara kemungkinan terjerumus kepada rusuhan kaum seperti yang berlaku lima dekad yang lalu.
Ahmad El Muhammady, yang telah menemu bual berpuluh-puluh militan, menyatakan keprihatinan terhadap polemik terbuka mengenai kaum, agama dan ideologi politik.
Katanya, situasi tegang itu dapat dilihat pada media sosial.
“Jika anda tidak mempercayai saya, buka Facebook dan baca bahagian komen. Sebagai penyelidik deradikalisasi, pandangan di ruangkan komen seumpamanya seperti hanya selangkah dari sesuatu yang radikal.
“Adakah kemungkinan bahawa negara sedang menuju ke 13 Mei 1969? Saya yakin ia boleh berlaku.
“Ini adalah amaran saya: jika tidak ada usaha yang mencukupi untuk meredakan ketegangan dalam kalangan rakyat, jangan terkejut sekiranya kejadian 13 Mei berlaku,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.
Ahmad bercakap di sebuah wacana di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bertajuk “Kekerasan dan Ancaman Keselamatan Negara: Bersediakah kita?”.
Ahmad juga mengulas mengenai penangkapan beberapa individu, termasuk dua Adun DAP, atas tuduhan mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ahmad berkata walaupun hujah bahawa LTTE sudah tidak berfungsi boleh diterima, namun ideologi LTTE masih hidup.
“Dengan kematian pemimpinnya, Prabhakaran, adalah benar bahawa organisasi itu telah gagal tetapi bukan ideologinya.
“Jadi saya fikir ahli politik perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan. Dibimbangi LTTE boleh dihidupkan semula selepas kejatuhannya,” katanya.
LTTE telah terkubur pada 2009, yang turut mengakhiri perang saudara di Sri Lanka.
Polis bahagian pencegahan keganasan mendakwa bahawa mereka yang ditangkap kemungkinan terlibat dalam percubaan untuk menghidupkan kembali pergerakan itu.
Salah seorang suspek juga didakwa merancang untuk menyerang Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, pelbagai pihak, termasuk Badan Peguam Malaysia, menggesa pihak berkuasa untuk mendakwa suspek di mahkamah, terutama kerana pihak polis mendakwa mempunyai bukti konkrit, dan bukannya menahan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Sosma membolehkan pihak polis menahan suspek tanpa perbicaraan selama 28 hari.