Umno: PRK Tanjung Piai antara paling sukar, uji muafakat pembangkang
(FMT) – Seorang pemimpin Umno berkata, pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai adalah antara pilihan raya yang paling sukar, mencabar dan menguji semangat Barisan Nasional (BN) serta Muafakat Nasional.
Setiausaha Agungnya, Annuar Musa berkata, beliau bagaimanapun berbangga melihat semangat kepelbagaian kaum dan jiwa besar pemimpin pembangkang Johor.
“Saya terlibat dalam kesemua rundingan dan perbincangan, khususnya dalam soal memilih calon. Dari kaji selidik hingga bancian.
“Saya berpeluang mendengar semua hujah dan pandangan semua pimpinan. Dari perancangan hingga calon diputuskan. Masyaallah, mereka semua berjiwa besar, berjiwa perjuangan yang sangat luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.
Semalam Barisan Nasional (BN) mengumumkan pemimpin MCA tempatan, Wee Jeck Seng sebagai calonnya dalam PRK tersebut 16 Nov depan.
Wee pernah menjadi ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal sejak 2008 sehingga tewas kepada Dr Md Farid Md Rafik yang mewakili PH-PPBM dalam pilihan raya umum ke-14 dengan majoriti 524 undi.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong berikutan kematian Md Farid pada 21 Sept lalu.
Setakat ini tiga calon disahkan akan bertanding di Tanjung Piai iaitu Wee, Karmainie Sardini dari PPBM mewakili Pakatan Harapan (PH), dan Wendy Subramaniam dari Gerakan.
Dalam pada itu Annuar berkata, PRK Tanjung Piai kini menjadi medan juang penuh simbolik politik, kejujuran, keikhlasan dan setiakawan politik bermaruah.
Beliau berkata, politik perpaduan kaum dan muhibah yang terbentuk dan tumbuh segar sejak tujuh dekad lalu kini cuba dirosakkan oleh politik kebencian, politik fitnah, politik dakyah dan tipu muslihat yang mengancam negara.
“Tanjung Piai bukan sekadar tua muda calonnya, tinggi rendah kelulusannya, banyak atau sedikit jasa dan khidmatnya.
“Tanjung Piai akan menjadi medan muafakat Umno, PAS, MCA, MIC dan seluruh NGO dan rakyat berganding bahu tanpa mengira agama, kaum, bangsa atau warna kulit,” katanya.