Kami masih siasat dakwaan Felda ditipu Najib, kata polis


(FMT) – Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor berkata, siasatan ke atas satu laporan yang difailkan April lalu terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak yang mendakwa Felda ditipu untuk melabur dalam sebuah syarikat perladangan Indonesia, masih berterusan.

“Siasatan itu akan mengambil masa kerana ada banyak transaksi yang kami perlu teliti.

“Siasatan itu masih dijalankan,” katanya selepas menghadiri sebuah acara di sini, hari ini.

Pengarah Besar Felda, Othman Omar mendakwa agensi itu ditipu Najib untuk melabur AS$505 juta (RM2.3 bilion) bagi membeli 37% saham PT Eagle High Plantations Tbk, anak syarikat Rajawali Group yang dimiliki taikun Indonesia, Peter Sondakh, pada 2015.

Othman mendakwa Sondakh rapat dengan Najib dan jumlah yang dibayar untuk saham itu 344% lebih tinggi daripada nilai sebenar AS$114 juta.

Sementara itu, Mazlan berkata, polis menerima 37,000 permohonan daripada individu yang berminat menyertai pasukan berkenaan.

“Jika seseorang meninggalkan pasukan ini, kami ada ramai lagi yang boleh menggantikannya. Jadi, saya harap polis memahami nilai pasukan ini, khasnya dari segi integriti dan mereka tidak melakukan jenayah, tetapi menunjukkan kebolehpercayaan.”

 



Comments
Loading...