Dr M tolak tawaran Goldman Sachs ‘kurang daripada AS$2 bilion’


(FMT) – Malaysia menolak tawaran pampasan bank pelaburan antarabangsa Goldman Sachs yang “kurang daripada AS$2 bilion (RM8.33 bilion)” berhubung skandal 1MDB, menurut satu laporan hari ini.

Laporan Financial Times London (FT) berkata, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bertegas dengan tuntutan beliau sebanyak AS$7.5 bilion (RM31.24 bilion).

Mahathir memberitahu akhbar berkenaan dalam satu temu bual semalam bahawa Goldman menawarkan “satu jumlah yang kurang daripada AS$2 bilion”.

“Kami tidak berpuas hati dengan jumlah itu, jadi kami masih berbincang dengan mereka. Jika mereka memberi respons munasabah, kami mungkin tidak akan bertegas untuk mendapatkan AS$7.5 bilion,” katanya menurut laporan dari Bangkok itu.

Goldman membantu 1MDB memperoleh AS$6.5 bilion dalam bentuk bon.

Laporan itu juga menyebut Malaysia mendakwa dua bekas kakitangan Goldman memberi rasuah kepada pegawai bagi menjamin penglibatan bank berkenaan dalam penerbitan bon terbabit. Goldman didakwa memperoleh yuran sebanyak AS$600 juta bagi eksesais tersebut.

Malaysia menuntut pampasan sebanyak AS$7.5 bilion daripada Goldman berikutan kerugian yang dialaminya. Goldman enggan memberi apa-apa komen.

FT juga memetik Mahathir sebagai berkata bahawa kerajaan telah menghubungi Deutsche Bank dan UBS berkait urus niaga mereka dengan 1MDB.

Pada Khamis, Mahathir juga berkata bahawa Malaysia mahu mendapatkan semula sebanyak AS$1 bilion daripada penyelesaian yang dicapai antara ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho dengan Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

Pada Rabu, laporan menyebut bahawa Low, atau Jho Low, membuat perjanjian penyelesaian dengan DoJ untuk mengembalikan aset bernilai AS$1 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB.

Pihak pendakwaan AS berkata, Low merancang kecurian lebih AS$4 bilion daripada 1MDB yang kemudiannya digunakan untuk membeli jet persendirian, kapal layar mewah, rumah agam, berlian, malah penerbitan filem Hollywood.

Perjanjian berkenaan tidak meliputi pengakuan bersalah atau salah laku, dan tidak jelas sama ada ia akan memberi kesan ke atas dakwaan jenayah terhadap Low di AS.

“Aset terbabit dibeli dengan menggunakan wang Malaysia. Kami mempunyai bukti ia adalah wang Malaysia. Justeru kami akan membuat tuntutan kepada kerajaan Amerika,” kata Mahathir di Johor Bahru.

Semalam Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, mengulangi kenyataan beliau September lepas berkata, polis tahu lokasi keberadaan Low, tetapi menolak laporan bahawa ahli perniagaan itu berada di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Low dilaporkan berada di UAE dan dikatakan berulang alik dari negara Timur Tengah ke Eropah sejak Jun.

 



Comments
Loading...