PKR, SENATOR DAN PM KE-8


Syamin Syabudin

Dalam tidak sedar, hujung tahun ini kita sekali lagi akan berdepan dengan satu lagi perubahan landskap politik. Memang ia tidak sebesar atau ‘segempar’ rombakan kabinet mahupun pembubaran parlimen. Namun implikasinya mungkin mampu ‘mencuit’ dan mempengaruhi kedua-dua sistem itu.

Beberapa orang ahli Dewan Negara atau lebih tepat lagi dikenali sebagai senator akan diganti dengan muka baru susulan bakal tamat tempoh perkhidmatan mereka pada Disember. Penulis berani jangka, sebahagian besarnya akan dirombak selerak.

Secara logik berdasarkan nafsu politik, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini tidak mungkin ingin mengekalkan beberapa muka lama memandangkan lantikan sebelum ini dibuat oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN).

‘Top Gun’ atau nama-nama besar dalam arena politik negara dijangkakan akan dilantik untuk mengisi kekosongan tersebut. Penyusunan semula senator di Dewan Negara perlu disegerakan demi memastikan segala urusan pentadbiran negara berjalan lancar dan teratur mengikut rentak politik semasa.

Sumber dalaman PH sendiri membayangkan, beberapa nama besar dalam politik bakal diangkat menjadi senator.

Rafizi Ramli Kembali Bernyawa

Sindiran netizen mengaitkan Rafizi Ramli dengan gelaran ‘arwah’ memang cukup kasar dan pedas. Namun berdasarkan matematik penulis, langkah bekas Ahli Parlimen Pandan itu ‘berhibernasi’ selepas kemenangan PH pada PRU14 dilihat berasas memandangkan beliau tidak mempunyai peranan, apatah lagi jawatan dalam kerajaan.

Semua sedia maklum, Rafizi adalah individu yang paling lancang mengkritik kerajaan pimpinan terdahulu dengan pelbagai pendedahan mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa. Invoke yang digerakkan beliau antara penyumbang kemenangan PH, walaupun ada yang cuba menafikannya.

Mempunyai kelulusan daripada University of Leeds, England dan berpengalaman luas dalam hal berkaitan politik Malaysia, beliau dilihat layak mengisi salah satu slot senator negara.

Di saat ekonomi dan politik ketika ini berada dalam keadaan yang tidak begitu stabil, kehadiran pakar ‘formula’ itu mungkin sedikit sebanyak mungkin dapat membantu. Idea dan ketajaman fikiran Rafizi Ramli ketika ini amat diperlukan.

Malah tidak mustahil, beliau juga mampu mengetuk pintu belakang untuk masuk ke Parlimen. Namun naratifnya, untuk dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri, itu kena tanya PM ke-8.

Tian Chua Sebagai Senator?

Seorang lagi ‘top gun’ dalam kem PH, Tian Chua, yang diketahui sebagai tulang belakang pergerakan politik PKR, juga merupakan individu yang layak untuk diangkat sebagai senator.

Beliau sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat bagi parlimen Batu selama dua penggal dan kini memegang jawatan sebagai Naib Presiden PKR.

Seperti Rafizi, Tian Chua juga dilihat banyak berdiam diri selepas gelombang besar PRU14. Mungkin kerana misi menjunamkan BN telah tercapai, maka ada baiknya untuk menikmati tempoh bertenang buat seketika.

Kenapa Tian Chua perlu diangkat menjadi senator?

Jika diteliti latar belakang pendidikan dan kerjayanya, sudah cukup untuk menjawab persoalan tersebut. Dengan pemahaman politik yang sangat luas selain aktif sebagai aktivis sosial, tiada sebab untuk meminggirkan nama Tian Chua untuk mengisi kekosongan kerusi senator di Dewan Negara.

Beliau juga mampu mewakili masyarakat cina dari lencana PKR, membayangi kaum itu yang lebih dipelopori oleh DAP.

Zahir Hassan Dalam Senarai Bayangan

Satu lagi nama penting yang perlu diangkat menjadi senator ialah Zahir Hassan. Beliau lebih dikenali sebagai veteran reformasi dan pernah menyandang jawatan timbalan setiausaha agung PKR.

Kini, Zahir Hassan meneruskan langkah politiknya dalam PKR dengan memegang jawatan sebagai pengerusi PKR di peringkat Wilayah Persekutuan.

Sama seperti Tian Chua dan Rafizi, Zahir juga mempunyai pengalaman yang luas terhadap politik negara. Ketiga-tiga mereka ini jika dilantik menjadi senator, sudah pasti dapat melicinkan lagi proses pentadbiran negara.

Pertimbangan nama untuk dilantik menjadi senator perlu dibuat secara lebih teratur, teliti dan melalui pelbagai proses tapisan supaya lantikan itu nanti dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi pentadbiran negara.

Penulis percaya, perkara sebesar ini pasti akan dibincangkan di peringkat Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, sedang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Amanah juga sudah pasti turut mengintai ‘pro’ mereka untuk sama berada dalam senarai Senator baharu.

Apa yang pasti, PH akan menguasai kerusi Dewan Negara pada 2020.

PM Ke-8 Dan Rombakan Kabinet

Semua rang undang-undang lazimnya mesti diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara (Senat) sebelum dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan baginda.

Sekiranya Dewan Negara menolak rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat, ia hanya boleh melambatkan laluan RUU dengan maksimum setahun sebelum ia dihantar kepada Seri Paduka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memberi laluan kepada ahli-ahli pimpinan PH terutamanya daripada PKR untuk mengisi jawatan senator kerana PKR mempunyai jumlah kerusi paling banyak di Parlimen.

Perubahan pucuk pimpinan negara yang dijangka akan berlaku sekitar Mei 2020 menjadi faktor pendorong kepada perlunya lebih ramai individu yang memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi ahli Dewan Negara.

Perubahan kedudukan Perdana Menteri nanti akan turut menyebabkan berlakunya rombakan kabinet dan lantikan senator yang telah dibuat secara tersusun membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mentadbir negara dalam keadaan yang lebih kondusif.

Bercakap mengenai rombakan kabinet, penulis membayangkan ramai menteri atau timbalan menteri bakal bertukar portfolio, atau mungkin langsung tidak ada portfolio pada Mei 2020 nanti. Bagi menteri atau timbalan menteri yang sedang tidur, anda mungkin dah boleh bangun dan mula kemas meja.

 



Comments
Loading...