KDN rampas lebih 2,000 komik kontroversi, kata Muhyiddin


(FMT) – Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin hari ini berkata, lebih 2,000 naskah komik kontroversi bertajuk “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama”, yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dirampas.

“Lebih 2,000 naskhah dirampas. Namun berapa jumlah tepatnya, wallahualam,” katanya dalam sidang media sempena Hari Keluarga KDN 2019 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), hari ini.

Terdahulu KDN mengesahkan komik yang diedarkan ke sekolah itu mengandungi unsur penyebaran propaganda komunisme dan sosialisme.

Muhyiddin sebelum ini berkata, laporan awal Bahagian Keselamatan kementerian berkenaan mendapati terdapat perkara yang tidak betul dalam komik berkenaan, sekali gus wajar untuk dikenakan tindakan tegas terhadap pihak yang menerbit dan mengedarkannya.

Sehingga kini tiga individu dipanggil ke Bukit Aman untuk memberikan keterangan mengenai penghasilan, pencetakan dan penerbitan komik berkenaan.

Mereka yang dipanggil termasuklah bekas pemimpin DAP, Hew Kuan Yew dan dua lagi yang dikatakan terlibat dalam proses penerbitannya.

 



Comments
Loading...