Isu LTTE ialah bukti DAP parti dominan


(Ismaweb) – Pembatalan dua pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Harimau Kebangkitan Tamil Eelam (LTTE) ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran jelas membuktikan bahawa wujudnya campur tangan dan pengaruh kuasa parti DAP dalam sistem kehakiman negara.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Hazwan Mohammad berkata, lebih jelas pengaruh itu apabila ini bukan kali pertama pendakwaan terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) digugurkan semenjak mereka berada di puncak kuasa.

“Sekadar mengambil beberapa contoh kes rasuah terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kes pembelian tanah dan banglo di Pulau Pinang dan Ahli Parlimen DAP Kampar pun turut digugurkan pendakwaan dalam kes menganjurkan perhimpunan haram tahun 2018.

“Malah, dalam kes LTTE ini secara spesifik, diawal pembongkaran oleh pihak berkuasa, pemimpin DAP seperti cacing kepanasan setiap hari mengeluarkan kenyataan sehingga ada yang mengecam tindakan pihak berkuasa yang menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Hazwan berkata, dalam prinsip undang-undang, keadilan bukan sahaja hendaklah dilakukan tetapi ia juga hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan.

Namun, ujarnya, tindakan DAP yang merupakan parti paling dominan di Putrajaya sesungguhnya telah memberi satu indikator negatif bahawa wujudnya campur tangan dalam sistem perundangan negara demi menjaga kepentingan individu dan parti tertentu.

“Kerajaan Pakatan Harapan hari ini sudah hilang kredibiliti dan autoriti untuk bercakap soal keadilan dan ‘rule of law’. Semuanya adalah kerana dominasi parti rasis dan cauvinis DAP yang berlagak seperti `abang besar’ dalam kerajaan.

“Saya sekali lagi menyeru agar siasatan menyeluruh dilakukan terhadap parti DAP dan badan Pendaftar Pertubuhan perlu menyegerakan tindakan mengharamkan parti DAP demi kestabilan negara,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, di sini, masing-masing pada pukul 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lepas.

Semalam, Mahkamah Sesyen Seremban membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Gunasekaran.

 



Comments
Loading...