Kenapa Melayu rajin merasuah


Asalkan boleh mengkorap, Melayu akan mengkorup.

Faisal Tehrani, Free Malaysia Today

Baru-baru ini ada pelajar bertanya kepada saya, mengapakah terdapat gejala rasuah yang begitu berakar dan bermaharajalela dalam kalangan pemimpin Melayu. Gejala rasuah itu nampaknya hari ini tidak lagi mengenal lebai atau tidak, jantan atau betina, muda atau tua; dan malah tanpa segan silu diperagakan bersekali dengan aksi tahajud dan kain ihram umrah. Siswa itu, sebagai Melayu bermaruah, berasa sangat malu betapa pemimpin Melayu amat suka suap-menyuap.

Mendengar soalan siswa tersebut membuatkan saya meloncat dari kerusi, “Demi Mufti Liverpool, orang Melayu adalah pemakan rasuah secara ‘meat eater’, yang mana ia dilakukan secara terang-terangan, teroganisasi dan malah dibuat komplot. Melayu bukan lagi jenis pemakan rasuah ‘grass eater’, yang melakukan rasuah secara spontan secara tiba-tiba.”

Siswa itu yang tersentak kerana saya meloncat dari kerusi, ikut sama terlatah melompat seraya berteriak, “Apa Melayu dalam sejarah sudah mengenal rasuah?”

Sesungguhnya, Di pasar Melaka, yang kita kenali dari buku teks sebagai pasar canggih penuh sistem dan mendatangkan laba; orang Melayu sudah biasa menerima rasuah, dan lazim memberi rasuah. Seperti dinukilkan dalam Sejarah Melayu, pekerja-pekerja Temenggung Hassan misalnya sudah terbiasa menerima sogokan daripada saudagar untuk mendapat tapak perniagaan:

“Maka segala orang muda-muda Tun Hasan Temenggong pun pergilah dengan pertanda merentang tali. Maka oleh segala orang muda-muda, pada tengah rumah saudagar yang kaya-kaya itu direntanginya tali, disurohnya robohkan. Maka segala saudagar itu menyorong, ada yang saratus, ada yang dua ratus, ada yang tiga puloh, empat puloh kapada saorang. Maka diambilnya oleh segala orang muda-muda Tun Hasan Temenggong, diperbahaginya ramai-ramai dengan segala pertanda, itulah makanannya, maka segala kedai yang anjor-menganjor itu juga disurohnya buang”.

Jadi, di Melaka, sogok tiga puluh empat puluh pitis bukanlah aneh.

Insiden agar kedai-kedai perniagaan itu tidak dirobohkan dengan memberi habuan tertentu, meskipun sudah terlalu menghadang jalan, cepat membuat kita terhimbau akan gejala rasuah yang hampir serupa berlaku sehari-hari di zaman ini. Kita pun cepat berasa menyampah, tetapi dalam banyak keadaan kita diam membiarkan. Kerana selalunya kita tidak perlu ikut campur tangan. Maka rasuah dianggap normal, malah norma kehidupan.

Jika dalam kes rasuah itu diberikan kepada penjawat awam yang lebih rendah, permainan orang atas-atas melibatkan konglomerat Melayu juga bukan calang-calang. Sebagai misalan, dalam Sejarah Melayu, diperikan akan kekayaan Ali Manu Nayan yang menjadi tumpuan ramai bangsawan Melayu. Pembesar ini tanpa segan silu meminta-minta hadiah daripadanya:

“Maka ada saorang biaperi terlalu kaya di-dalam negeri Melaka, Ali Manu Nayan namanya. Apabila orang datang bermain ke rumahnya, maka diberinya kain atau emas atau barang benda yang gharib-gharib. Maka segala orang besar-besar pun semuanya datang ke rumahnya”.

Kemudian, jika kita terus membaca teks Melayu tradisional tersebut kita akan berpeluang menekuni episod yang lebih menjolok mata. Untuk memenangi perbicaraan dengan Raja Mendeliar, Nina Sura Dewana menyogok Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir:

“Telah hari malam, maka Nina Sura Dewana pun fikir pada hatinya, ‘Ada pun bahawa Raja Mendeliar ini orang kaya; kalau ia menyorong pada Datok Bendahara nischaya alah aku. Jikalau demikian, baiklah aku pada malam ini pergi pada Bendahara. Telah demikian fikirnya, maka oleh Nina Sura Dewana diambilnya emas sabahara, dibawanya kepada Bendahara Seri Maharaja… Maka Nina Sura Dewana pun masok menghadap bendahara. Maka bendahara pun keluar. Maka emas yang sepuluh kati itu pun dipersembahkan pada bendahara. Maka kata Nina Sura Dewana pada bendahara, ‘Tuanku, emas ini persembah saya akan pembeli-beli sireh pinang Tuanku’. Maka kata bendahara, ‘Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambil’.”

Begitulah kelaku Melayu. Maka setelah diberi, apa lagi, dirembat ambil.

Dalam satu insiden lain di Melaka, Sultan Mahmud yang begitu menyayangi Sang Guna melepaskan hukuman terhadapnya, meskipun Sang Guna meniduri isteri Sang Sura. Ini adalah satu lagi bentuk rasuah, penyelewengan dan nepotisme busuk yang hanya membuatkan kita tertanya-tanya, beginikah maruah Melayu?

“Satelah berapa lamanya maka isteri Sang Sura pun bermukah dengan Sang Guna. Maka Sang Sura pun tahu; maka Sang Guna diadang oleh Sang Sura. Ada pun Sang Guna itu baik sikapnya, tegap sasa tubuhnya, akan Sang Sura kechil tubuhnya, rinching mersek. Telah didengar oleh Sultan Mahmud, maka baginda terlalu sayang akan Sang Guna, karena Sang Guna pada ketika itu bukan barang-barang orang; ialah yang pertama memuat keris tempa Melaka, panjang tengah tiga jengkal.”

Dalam kejadian di atas, Sultan Mahmud cenderung berpihak kepada Sang Guna, pemilik industri pembuatan keris. Sebagai pemilik industri, sultan sukar menghukum dengan adil lantas memejam mata akan kejadian zina antara isteri Sang Sura dengan Sang Guna. Akan tetapi, sultan yang membuat bodoh inilah sebetulnya juga pelaku korupsi yang melela.

Dalam kejadian lain, untuk melarikan Tun Teja yang jelita itu, Hang Nadim merasuahkan seorang pelulut agar mudah melepasi pagar Istana Pahang:

“Maka oleh Hang Nadim si pelulut itu diberinya emas dan kain baju terlalu banyak. Telah ia memandang harta banyak itu maka tertawanlah hatinya oleh harta dunia. Maka si pelulut itu pun mengakulah menanggong rahsia Hang Nadim. Maka kata Hang Nadim, ‘Jikalau dapat, hendaklah dengan barang daya upaya manda, Tun Teja itu bawa kapada aku supaya kupersembahkan kepada raja Melaka’.”

Maka selain emas, dan duit; kain baju juga membolehkan Melayu dibeli.

Sebuah lagi peristiwa melibatkan sogok-menyogok ini ialah apabila Pateh Adam bernafsukan anakanda Seri Nara Diraja, Tun Manda; setelah dilamar tidak dapat, Pateh Adam berhasrat untuk memperkosa Tun Manda. Demi membolehkan menerobos masuk dalam rumah Seri Nara Diraja itu, penunggu pintu diberi habuan emas, dan dengan mudah ia pun lolos:

‘Maka Pateh Adam pun kembalilah ka tempatnya singgah. Maka ia berbichara di dalam hatinya hendak merogol Tun Manda. Ada pun akan Tun Manda, telah besar-lah, berumah sendirinya. Maka oleh Pateh Adam diemasinya segala penunggu pintu Seri Nara Diraja, katanya pada penunggu pintu itu, ‘Berilah aku masok dengan empat puloh orang periai ini juga. Maka kabullah penunggu pintu itu memberi ia masok ke rumahnya Tun Manda; sebab ia kena upah itu hilanglah setianya, sunggohlah saperti kata amirul muminina Ali karamallahu wajhahu, La khayra fi’l-wafa’i ‘ala man la asla lahu; ya’ni sia-sia berbuat baik atas orang yang tiada berbangsa baginya’.”

Petikan-petikan di atas memberi gambaran rasuah bukanlah suatu yang asing dalam masyarakat tradisional Melayu. Serta pedoman contoh yang ingin dicari oleh pemuja peradaban Melayu; kadang-kala bukan semuanya dapat dijadikan panduan. Bahkan dalam banyak keadaan, merujuk kepada peradaban Melaka sebagai satu contoh gemilang, boleh menjadi sesuatu yang menjelak dan menjerankan.

Sayugia diingatkan Melaka adalah sebuah negeri yang dianggap penanda aras penyebaran Islam tatkala itu. Ini bermakna mufti Melaka setaraf dengan mufti Liverpool dalam pelbagai tindak-tanduk dan wewenangnya.

Kejadian rasuh-merasuah seperti tergambarkan dalam Sejarah Melayu itu adalah petunjuk-petunjuk kecil bahawa gejala rasuah dalam kalangan orang Melayu sudah melata. Itulah puncanya kita tidak perlu berasa kehairanan jikalau Melayu tidak memikir banyak pilihan terbentang sedia ada.

Asalkan boleh mengkorap, Melayu akan mengkorup.

Hari ini, rasuah demikian, dalam contoh-contoh di atas sudah dianggap murni. Apatah lagi kalau si pembuatnya itu mengenakan kopiah haji di kepala, bermundar-mandir dengan jubah putih; dan sesekali memetik ayat Al-Quran atau hadis.

Perasuah itu akan segera diampuni masyarakat. Kerana dalam Sejarah Melayu pun rasuah itu umpama udara dihirup, maka tidak hairan, yang korupsi bebas ke mana tanjung sekalipun untuk menuai. Apa yang dituai? Tentulah untung dan laba.

Maka tatkala saya terpelantik dari kerusi itu saya juga tergagau mengingat betapa sebatinya rasuah dengan Melayu terdapat banyak kata untuk merujuk rasuah; suapan, sogokan, sorongan, duit kopi, rayap, kena emas, menyampul, merembet, ruba, dan tumbuk rusuk.

Siswa saya yang memang seorang pelatah, terus melatah mengulang-ulang kata-kata banyak di atas tanpa henti untuk beberapa jenak.



Comments
Loading...