Anwar: Tangan ghaib? Mungkin Azmin tengok dari langit, bulan


(Malaysiakini) – Presiden PKR Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan timbalannya Azmin Ali bahawa ada ‘tangan ghaib’ di sebalik keputusan membatalkan jemputannya untuk merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR (AMK).

“Mungkin dia tengok dari langit, bulan.

“Apa-apa pun mesyuarat biro politik diadakan dua kali sebulan atau (secara mingguan), mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat) setiap bulan. Semua boleh beri pandangan, semua boleh bantah, tolak. Semua keputusan dibuat oleh MPP

“Apa-apa perubahan bukan (dibuat melalui) ugutan oleh mana-mana tokoh, tetapi mesti dibuat oleh mesyuarat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Konvensyen PKR Terengganu dan Kelantan yang diadakan di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Azmin berkenaan kewujudan ‘tangan ghaib’ kerana menurutnya ketua pemuda PKR tidak akan berani melakukan sesuatu tanpa ‘tangan ghaib’ di belakangnya.

“Saya telah terima surat jemputan dan telah menjawab akan hadir tetapi baru-baru ini telah dibatalkan. Saya yakin Ketua AMK tidak berani melakukan sesuatu tanpa ada tangan-tangan ghaib di belakang,” katanya.

Azmin turut mendakwa pembatalan jemputannya itu bagi menghalangnya untuk bersuara dalam kongres tersebut.

Azmin dan sejumlah pemimpin PKR yang menyokongnya untuk beberapa tempoh tidak menghadiri mesyuarat itu susulan pergeseran dengan kem Anwar.

Dalam pada itu, Anwar membandingkan ketidakhadiran Azmin dengan wartawan yang tidak hadir ke mesyuarat editorial.

“Anda media, tak pernah datang mesyuarat. Jadi editor tak panggillah anda,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian memberi kata dua untuk membatalkan konvensyen PKR negeri itu yang dijadual berlangsung di Miri pada 23 November ini jika isu pembatalan jemputan Azmin tidak diselesaikan.

Bagaimanapun Anwar berkata itu hanya pendirian beberapa pemimpin PKR Sarawak dan “kebanyakan ketua cabang mahu konvensyen diteruskan”.

“Tiada orang boleh beri ultimatum (kata dua). Tiada yang boleh begitu angkuh untuk memutuskan keputusan yang dibuat oleh biro politik dan MPP yang (dibuat secara) terbuka.

“Ia bukan keputusan setiausaha agung seperti yang disebutkan, tetapi keputusan pimpinan parti dalam mesyuarat bulanan,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...