Saifuddin boneka yang dikawal tangan ghaib – Ahli MPP


(Malaysia Gazette) – Kecelaruan pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin ketara apabila Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) didakwa semakin menjadi-jadi mengeluarkan kenyataan-kenyataan semberono dan tidak profesional.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Zakaria Abdul Hamid berkata, kes terbaharu apabila Setiausaha Agung Keadilan itu mengiakan sahaja tradisi parti iaitu perasmian kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) diubah daripada dirasmikan oleh Timbalan Presiden kepada Timbalan Perdana Menteri yang tidak mempunyai sebarang jawatan berperlembagaan dalam parti.

“Kenyataan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Nasution yang bukan sahaja bersikap lepas tangan, malah memainkan sentimen yang salah kepada anggota parti dan rakyat Malaysia khususnya.

“Saya berpandangan bahawa ini bukan politik baru seperti dicanangnya, tetapi ialah politik kuno yang bersifat feudalistik. Hanya menurut arahan ketuanya seperti boneka yang tulang belakangnya dikawal oleh tangan ghaib,” kata Zakaria.

Beliau menambah, Saifuddin yang sememangnya dikenali sebagai seorang yang gagal mengurus organisasi dengan baik sejak sekian lama.

Beliau juga tidak berani bertanding dalam pemilihan parti dan hanya mengharap talian hayatnya disambung oleh presiden atas kapasiti teman lama dan simpati.

“Kalau nak dilihat prestasi? Hanyut tanpa haluan,” ujar Ketua Keadilan Cabang Bera itu lagi.

Oleh yang demikian, Zakaria menyeru Saifuddin bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti ini dengan memulakan langkah betul iaitu menyakinkan presiden untuk bertemu dengan MPP yang menang dengan sokongan anggota parti seluruh negara atau mungkin sesuatu yang lebih besar akan berlaku.

 



Comments
Loading...