Kalah di Tanjung Piai, rakyat sudah muak dengan kerajaan PH
(Cempedak Cheese) – KETUA Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semalam menunjukkan rakyat sudah muak dengan kerajaan hari ini.
Menerusi ciapannya di Twitter, bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata, ia merupakan kekalahan teruk yang membawa mesej berbentuk ‘gegaran letupan’.
Ciapannya itu dipercayai ditujukan kepada kerajaan hari ini agar lebih berwaspada dan tidak mengabaikan janji-janji kepada rakyat termasuk kekalahan PH pada PRK kali ini.
PRK Tanjung Piai semalam menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng merampas kembali kerusi Parlimen itu dengan majoriti besar sebanyak 15,086 undi.
Jeck Seng, 55, memperoleh sebanyak 25,466 undi mengatasi pencabar terdekatnya iaitu calon PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.
Empat lagi calon yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) hanya memperoleh 1,707 undi, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah) dengan 850 undi serta dua calon bebas masing-masing Dr Ang Chuan Lok (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghafar (32 undi).