Kenapa gelabah nak guling PM?


(Ismaweb) – Krisis dalaman Pakatan Harapan (PH) semakin kritikal, malah terbaharu terdapat laporan mendedahkan senarai nama 101 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti yang menuntut agar Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

The Coverage yang melaporkan perkara itu mendakwa, senarai nama yang didedahkan adalah antara Ahli Parlimen yang mahu menolak Dr Mahathir dan menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas perkara itu, Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, ketika ini memang berlaku konflik kepimpinan untuk menaikkan orang lain bagi menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Katanya, terdapat tiga jenis pihak dalam situasi ini iaitu; yang mahukan Dr Mahathir terus memegang jawatannya, ada yang mahukan Dr Mahathir berhenti dan digantikan dengan Anwar Ibrahim dan terdapat juga satu kumpulan lain yang mahukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggantikan PM ke-7 itu.

Menyifatkan situasi politik ini sebagai kelam kabut, beliau berkata, keputusan yang sebaik-baiknya adalah mengekalkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri tanpa perlu diadakan sebarang peralihan kuasa kepada sesiapa pun.

“Apa masalahnya nak kekalkan Tun M? Belum pun sampai dua tahun sudah ada desakan supaya beliau letakkan jawatan. Kalau ada pihak yang menganggap keadaan negara sekarang tak aman. Kenapa sebelum pilihan raya dulu pilih Tun M? Patutnya tak perlu pilih Tun M.

“Dulu kenapa lantik dia, kenapa tak lantik calon sendiri? Kenapa semua di letak di bawah Tun M tu kalau tak yakin? Sekarang belum 2 tahun dah nak Tun letak jawatan. Apa masalahnya?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Melihat perkembangan terkini, beliau percaya ada pihak yang tidak sabar mahu mendapatkan kuasa.

Namun katanya, walau apa sahaja desakan, beliau menegaskan bahawa kepimpinan Dr Mahathir perlu diteruskan bagi memastikan keharmonian negara terjamin.

“Kalau tak diteruskan keadaan akan jadi kelam kabut. Masing-masing akan cuba jatuhkan sesama sendiri jika Tun M tidak lagi menjadi PM.

“Supaya kembali tenang, Tun M perlu teruskan dulu, kalau dibiarkan orang yang nak menggantikan Tun M, keadaan akan jadi kelam kabut.

“Orang yang tak suka Anwar akan kuat menentang, orang yang tak suka Azmin juga akan menentang. Keadaan politik akan jadi lagi tak stabil kalau Anwar jadi PM, kalau bukan Anwar pun, tetap tak stabil,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika Dr Mahathir tidak dapat membuat keputusan dalam isu peralihan kuasa, maka pilihan yang terakhir ialah dengan mengadakan pilihan raya.

“Itu pilihan yang paling terakhir. Itu sebaik-baiknya. Cukup 3 tahun 4 bulan. Lagi setahun, supaya semua Ahli Parlimen dapat pencen penuh. Kalau tak, mereka tak dapat pencen penuh. Jadi sabar la sikit,” selorohnya.

 



Comments
Loading...