Pemuda Keadilan setuju Mahathir kekal PM


(Berita Harian) – Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersetuju untuk terus mengekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, berkata AMK juga memutuskan untuk menolak sebarang usaha dan cubaan menjatuhkan Dr Mahathir.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mempertahankan kestabilan negara daripada diganggu gugat pihak tertentu.

“Kita berikan komitmen yang jelas untuk pertahankan Tun M (Dr Mahathir) sebagai Perdana Menteri.

“Ini mandat yang diberikan oleh rakyat tetapi bila tiba masanya dan sudah buat keputusan, kita terima dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, mengetuai mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat AMK yang dihadiri 132 Ketua Cabang seluruh negara.

Dalam masa sama, Muhammad Hilman berkata, beliau juga turut memberi taklimat kepada semua Ketua Cabang berkenaan perjumpaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan 22 Ahli Parlimen Barisan Nasional di Putrajaya, kelmarin.

“Apa yang kita jelaskan, perjumpaan itu membincangkan isu pembangunan negara dan kestabilan negara masa kini,” katanya.

 



Comments
Loading...