Ada pemimpin PKR lupa daratan, kata Anwar


(FMT) – Ada ahli PKR yang lupa daratan dan menyalahgunakan kuasa selepas memiliki jawatan dalam kerajaan.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa PKR bukanlah parti yang mengagihkan projek demi meraih sokongan.

“Kadang-kadang ada yang lupa… bukan parti lawan, dalam PKR pun ada yang lupa. Nak sebut reformasi pun takut. Nak jumpa reformis pun tak berani sebab mereka sudah lupa daratan.

“Lupa bahawa perjuangan ini bukan untuk jaga seorang dua orang, bukan nak jaga kedudukan menteri, siapa sokong aku dapat projek. Siapa tak sokong tak dapat projek. Ini perangai buruk Umno dulu yang kita nak betulkan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Reformis 2019 di sini, hari ini.

Dalam ucapan sama beliau seakan menyindir timbalannya, Mohamed Azmin Ali yang mengadakan rundingan “pintu belakang” dengan pemimpin parti pembangkang.

“Kita diberi amanah, jangann salah guna kuasa. Saya terus terang sebab dua hari lalu saya jumpa Tun Mahathir berbincang. Saya sebut benda ini, kita kena hentikan amalan ini (beri projek), ini ertinya salah guna kuasa.

“Bukan setakat jumpa orang dalam parti kita, runding dengan parti musuh pun. Ini apa? Parti projek? Dah banyak terbongkar dengan sendiri, terbongkar kerana kita lupa perjuangan ini,” katanya.

Sebelum ini, kecoh apabila Azmin mengadakan pertemuan dengan sekumpulan ahli Parlimen Umno dan PKR di kediaman rasminya dipercayai bagi membincangkan isu sokongan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Namun dakwaan itu dinafikan Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi dan memaklumkan pertemuan itu hanya membincangkan soal pembangunan di kawasan Parlimen pemimpin terbabit.

Dalam pada itu, Anwar turut menegur sikap pemimpin yang sombong hingga tidak boleh ditegur selepas menjawat apa-apa jawatan.

“Tanpa akhlaklah kita jadi bongkak, tak boleh orang tegur. ‘Aku dah jadi pemimpin tak boleh ditegur. Baru ada pangkat sikit sombongnya.

“Tak hormat rakyat di bawah ini yang mengangkat (mereka ke atas). Mana mungkin perjuangan tanpa akhlak,” katanya.

Anwar menegaskan beliau tidak akan menjadi pemimpin yang lupa daratan, merujuk kepada persetujuan dalam kalangan pemimpin parti komponen PH berhubung kedudukan beliau sebagai perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad.

“Ditakdirkan saya jadi (perdana menteri), saya tak mungkin lupa sejarah perjuangan kita. Tak ada makna kita pegang jawatan, dapat sanjungan tapi kita lupa daratan.

“Tak ada makna bangga dengan kedudukan kalau nasib hidup rakyat merempat,” katanya.

 



Comments
Loading...